ARTIKEL

Awang Tengah ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Gambar Penerangan

Sarawak pergiat aktiviti penerokaan minyak dan gas daratan guna teknologi canggih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mempergiat aktiviti penerokaan minyak dan gas daratan menggunakan teknologi canggih bagi mengenal pasti rizab minyak dan gas baharu, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, sembilan kawasan berpotensi tinggi dikenal pasti oleh PETROS, dengan perancangan untuk menggerudi 10 telaga penerokaan yang akan dimulakan di Balingian, Limbang-Lawas, Marudi dan Niah, melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM500 juta.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, pembangunan industri hiliran turut menunjukkan kemajuan, dengan Sarawak Petchem mengeksport lebih daripada 180 kargo metanol, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pasaran petrokimia global serta membuktikan nilai tambah yang boleh diperoleh melalui pemprosesan sumber gas kepada produk bernilai lebih tinggi.

“Cadangan projek pengeluaran metanol rendah karbon, ammonia dan urea akan terus memperluas industri hiliran Sarawak serta menyokong peralihan ke arah pembangunan perindustrian yang menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah.

“Perkembangan ini memperkukuh rantaian nilai industri minyak dan gas Sarawak secara bersepadu, daripada aktiviti penerokaan dan pengeluaran kepada pemprosesan gas serta pembuatan produk hiliran,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Awang Tengah menambah perkembangan berkenaan akan menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan Sarawak dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, penyelenggaraan, logistik dan perkhidmatan khusus.

“Keutamaan kita adalah untuk memaksimumkan nilai ekonomi sumber minyak dan gas Sarawak, sambil memastikan penyertaan industri tempatan yang lebih meluas, pemindahan teknologi serta manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menegaskan minyak dan gas kekal sebagai sektor penting kepada ekonomi Sarawak.

Katanya di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching telah dikenal pasti sebagai hab pembangunan utama bagi memperluas penggunaan gas, memperkukuh keselamatan tenaga serta menggalakkan pembangunan industri hiliran.

Menjelas lanjut, Awang Tengah berkata pada 2026, PETROS dan PETRA Energy berjaya memperoleh pengeluaran minyak pertama di Adong Kechil West, sekali gus menandakan kebangkitan semula pengeluaran petroleum daratan selepas hampir 50 tahun.

Sementara itu, katanya PETROS dan Höegh Evi dari Norway telah mengumumkan cadangan pembangunan Terminal LNG Kuching, yang menyasarkan pengeluaran gas pertama menjelang akhir 2029.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU