ARTIKEL

Sarawak perkasa kemahiran OKU, sasar lebih banyak penyertaan ke Abilympics

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui latihan kemahiran dalam empat bidang sebagai persiapan menghadapi pertandingan Abilympics di Finland pada 2027.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, empat bidang yang dikenal pasti ialah gubahan bunga, reka bentuk poster, refleksologi dan fotografi.

“Latihan itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pusat latihan kemahiran serta pihak yang mempunyai kepakaran dan tauliah dalam bidang masing-masing bagi memastikan peserta menerima bimbingan terbaik.

Fatimah bersama-sama yang lain pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan geran NGO JKMS kepada SOSDA di Bilik Media DUN. | Mohd Alif Noni

“Pretty Petals membimbing peserta dalam bidang gubahan bunga, manakala reka bentuk poster dilaksanakan dengan kerjasama GiatMARA Stampin.

“Bagi bidang fotografi dan refleksologi, peserta akan menerima bimbingan menerusi kerjasama dengan CENTEXS Santubong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan geran badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kepada Persatuan Pembangunan Kemahiran OKU Sarawak (SOSDA) di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambahnya, kemahiran dalam kalangan orang kelainan upaya perlu diasah untuk membantu mereka menjana pendapatan dan hidup berdikari.

Sementara itu, Pengerusi SOSDA Dunstan Lim berkata, Abilympics merupakan pertandingan kemahiran antarabangsa khusus untuk golongan OKU yang diadakan setiap empat tahun.

Menurutnya, Sarawak sudah memperoleh satu slot bagi acara gubahan bunga, manakala persatuan itu terus berusaha memastikan lebih ramai peserta tempatan layak mewakili Malaysia pada pertandingan berkenaan.

“Penyertaan dalam Abilympics bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya memberi peluang kepada peserta menguasai kemahiran yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar Sarawak diberikan peluang menjadi tuan rumah pertandingan Abilympics pada masa hadapan, sekali gus membuka ruang untuk mengetengahkan usaha negeri membangunkan masyarakat inklusif di peringkat antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU