ARTIKEL

Awang Tengah menunjukkan teks ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. | Foto: MOHD ALIF NONI

Sarawak perhebat pemantauan hutan menerusi teknologi digital dan AI


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penggunaan teknologi geospatial, digital dan kecerdasan buatan (AI) akan terus diperkasakan bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan serta pemantauan aktiviti perhutanan di Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyelidikan saintifik turut diperkasakan bagi menyediakan rujukan teknikal yang sahih untuk menyokong tindakan penguatkuasaan lebih cekap, telus dan berkesan.

Menurut beliau, kerajaan negeri komited melindungi khazanah hutan dan biodiversiti melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas, konsisten dan berkesan.

“Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) terus memperkukuh pemantauan, rondaan serta tindakan penguatkuasaan.

“Ini bagi membanteras pencerobohan hutan, pembalakan haram, pemburuan haram dan kegiatan lain yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Di samping itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua memberitahu, JHS merekodkan 59 kes kesalahan hutan dari Mei 2025 hingga September 2026.

Daripada lima kes yang dibawa untuk pendakwaan, tiga selesai dengan lima tertuduh disabitkan kesalahan dan jabatan itu turut mengutip RM218,967 hasil kompaun dan RM211,598 daripada jualan kayu rampasan.

Sementara itu, SFC membuka 28 kertas siasatan dari Mei hingga September 2026 dengan 23 kes melibatkan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala lima lagi di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998.

Sebanyak 23 kes SFC didakwa di mahkamah dan tiga dikompaun dengan kutipan RM184,850, manakala PUSAKA membuka 20 kertas siasatan di bawah Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak 1973 dari Januari hingga September 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU