KUCHING: Industri perkayuan Sarawak merekodkan nilai eksport RM1.77 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, berbanding RM2.5 bilion sepanjang tahun lalu.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata industri itu masih berdepan beberapa cabaran, termasuk bekalan bahan mentah, ketidaktentuan pasaran global susulan pergolakan geopolitik, peningkatan kos operasi serta tuntutan pematuhan alam sekitar yang semakin ketat.
Justeru, beberapa inisiatif dilaksanakan melalui agensi kementerian bagi menangani cabaran itu, termasuk pembangunan ladang hutan secara mampan, promosi pemasaran dan pelaburan serta penstrukturan semula industri kepada penghasilan produk bernilai tambah.
“Usaha turut merangkumi penambahbaikan Sarawak Timber Legality Verification System (STLVS) bagi memperkukuh pematuhan dalam industri perkayuan.
“Sisa kayu berpotensi dimanfaatkan untuk menghasilkan pelet biojisim dan biochar, sekali gus menyokong ekonomi kitaran serta pendekatan penukaran sisa kepada tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam usaha mengembangkan industri hiliran, beliau berkata Sarawak memberi tumpuan kepada penghasilan perabot, biojisim, kejuruteraan kayu dan buluh.
“Prestasi eksport pelet kayu menunjukkan perkembangan ketara apabila meningkat daripada RM400,000 pada 2021 kepada RM179 juta pada 2025.
“Eksport produk perabot pula meningkat daripada RM47.7 juta pada 2021 kepada RM59 juta pada 2024, iaitu nilai tertinggi dalam tempoh berkenaan.
“Perkembangan itu menunjukkan potensi industri hiliran untuk mempelbagaikan produk eksport dan meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi Sarawak,” tambahnya.
Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, berkata PUSAKA melaksanakan projek penanaman buluh secara besar-besaran bagi menyediakan sumber bahan mentah alternatif untuk menyokong industri hiliran.
“Sarawak menyasarkan penanaman buluh seluas 30,000 hektar menjelang 2030, dengan 5,146 hektar ditanam setakat ini melalui penanaman komersial dan pelibatan komuniti.
“Dari segi pembangunan industri, PUSAKA mengeluarkan 1,319 lesen industri perkayuan yang merangkumi aktiviti import, eksport, jualan tempatan dan pembuatan,” ujarnya.
Daripada jumlah itu, katanya sebanyak 329 lesen melibatkan kilang perkayuan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 9,625 orang.



