KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Goon International College (GIC) dengan Institut Pertanian Bogor (IPB University), Indonesia kini membuka laluan kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar.
Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata inisiatif itu memberi tumpuan khusus kepada program Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan universiti berkenaan.
“Program selama lima tahun ini setaraf dengan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala graduan boleh memohon pendaftaran dengan Majlis Veterinar Malaysia (MVC), tertakluk pada syarat pendaftaran yang ditetapkan.
“IPB University dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan kecemerlangan akademik, pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan latihan klinikal yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani kerjasama dengan IPB University di sini, semalam yang turut dihadiri oleh Setiausaha Program Pengajian Sarjana Muda Perubatan Veterinar IPB University, Dr. Ronald Tarigan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron mendedahkan Malaysia berdepan kekurangan lebih 5,900 doktor veterinar berbanding anggaran keperluan negara.
Katanya, jumlah doktor veterinar aktif sekitar 2,600 orang berbanding keperluan dianggarkan 8,500 orang.
Sehubungan itu usaha memperluas akses kepada pendidikan veterinar dilihat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional.
Menurut Prabagaran, Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan IPB University turut berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi bidang sains veterinar menurut QS World University Rankings by Subject, sekali gus menawarkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pembangunan profesional veterinar.
Katanya, selain pembelajaran akademik, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman praktikal melalui Hospital Haiwan Pengajaran IPB University (RSHP), merangkumi bidang pembedahan, perubatan dalaman, diagnostik dan penjagaan kesihatan haiwan.
Melalui laluan yang diperkenalkan, beliau berkata pelajar Malaysia akan mengikuti Program Asasi GIC sebelum meneruskan pengajian ke IPB University selepas menamatkan program berkenaan.
“Laluan ini dijangka memberi pilihan tambahan kepada pelajar yang berminat dalam bidang veterinar, khususnya mereka yang berdepan persaingan untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya.
Prabagaran menambah bagi menyokong usaha tersebut, GIC menawarkan biasiswa berjumlah RM1.2 juta kepada pelajar Program Asasi yang cemerlang dan memenuhi syarat bagi pengambilan tahun 2027.
Katanya biasiswa itu bertujuan membantu pelajar berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain mengurangkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi dalam mengejar kelayakan profesional.
“Bidang perubatan veterinar merupakan profesion yang mendapat permintaan tinggi dan Malaysia memerlukan lebih ramai doktor veterinar berkelayakan untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor.
“Melalui kerjasama kami dengan IPB, kami mahu menjadikan laluan ini lebih mudah diakses oleh pelajar kami, manakala biasiswa ini menyediakan sokongan kepada pelajar cemerlang untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.
Kerjasama GIC dan IPB University diharap dapat menyumbang kepada usaha jangka panjang memperluas peluang pendidikan veterinar untuk pelajar Malaysia, di samping membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kesihatan haiwan, penternakan dan keselamatan makanan.




