KUCHING: Kerajaan Sarawak berjaya menyelesaikan pengukuran perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas kira-kira 1.249 juta hektar atau 3.086 juta ekar sejak pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pada Oktober 2010 hingga 30 September lalu.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata daripada jumlah tersebut kira-kira, 979,000 hektar atau 2.42 juta ekar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa mengiktiraf hak ke atas tanah NCR yang sahih dan diwujudkan mengikut undang-undang tanah.
“Sejak 2017, pengukuran lot individu turut dipergiat bagi pengeluaran hak milik di bawah seksyen 18, dan sehingga kini sebanyak 112,711 lot berjaya diukur.
“Bagi mempercepat pengukuran NCR juga, kerajaan menambah kapasiti Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan pengambilan 467 pegawai baharu, menggunakan khidmat juruukur swasta serta melaksanakan kajian teknologi ukur yang lebih cepat dan tepat,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga meluluskan RM40 juta bagi memperkasa program berkenaan, manakala Kerajaan Persekutuan meluluskan RM15 juta di bawah RMK13, sejumlah RM2 juta disalurkan pada 2026 kepada JTS Sarawak.
Dalam pada itu, Awang Tengah memaklumkan, sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK4), Kerajaan Sarawak melaksanakan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi menyediakan tanah kediaman kepada rakyat berpendapatan rendah, sehingga 30 September lalu, sebanyak 306 skim diwujudkan, melibatkan 51,973 lot kediaman di seluruh negeri.
“Sejak 2018, kedua-dua skim itu dipertingkatkan dengan penyediaan infrastruktur lebih moden dan lengkap, merangkumi jalan berturap, parit konkrit, lot bertembok serta sistem bekalan air dan elektrik yang lebih teratur,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, sepanjang RMK11 dan RMK12, sebanyak 111 skim diluluskan dengan kos berjumlah RM1.8 bilion, menyediakan 9,331 lot kediaman.
“Di bawah RMK13 pula, 32 projek diluluskan melibatkan 2,896 lot dengan kos RM278.1 juta, yang mana beberapa projek telah siap dan selebihnya sedang dalam pelaksanaan sehingga penghujung RMK13,” jelasnya.
Beliau menyatakan, di bawah RMK13, Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA), menyasarkan pembinaan 1,410 unit rumah mampu milik dengan anggaran kos pembinaan berjumlah RM524.9 juta, dan Belanjawan 2027 telah meluluskan RM213.35 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak 402 unit rumah sedang giat dibina dan dijangka akan disiapkan pada suku kedua tahun 2027.
“Sebanyak 157 unit rumah daripada 402 unit rumah tersebut akan dilengkapi dengan sistem tenaga solar dengan kos pemasangan berjumlah RM4.553 juta dan Kerajaan Sarawak akan menanggung 50 peratus daripada kos pemasangan tersebut,” tegasnya.



