ARTIKEL

Sarawak siapkan hala tuju industri REE ke arah penghasilan super magnet

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyiapkan kerangka hala tuju pembangunan industri Unsur Nadir Bumi (REE) secara bersepadu daripada peringkat huluan sehingga hiliran ke arah industri ‘super magnet’, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, ia bagi menyokong pembangunan industri semikonduktor, aeroangkasa dan satelit di Sarawak, selain untuk kegunaan pembuatan kenderaan elektrik, teknologi pertahanan, perubatan dan lain-lain.

“Sebagai langkah permulaan pembangunan industri, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM18 juta dalam RMK13 bagi membolehkan kajian potensi keberadaan sumber REE dilaksanakan di kawasan seluas lebih kurang 3,134 kilometer persegi.

“Kerajaan Persekutuan telah diminta untuk menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Cawangan Sarawak bagi membolehkan kajian keberadaan sumber mineral ini diperluas di seluruh Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Terdahulu, Awang Tengah berkata Kerajaan Sarawak akan terus memastikan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dilaksanakan secara mampan bagi mengimbangi keperluan pembangunan dan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

Selaras dengan itu, beliau berkata Lembaga Pengurusan Mineral Sarawak (SMMA) meluluskan Dasar Pembangunan Industri Mineral Sarawak yang merangkumi tujuh teras dan 43 komponen utama.

“Dasar ini menekankan pelaksanaan perlombongan dan pengkuarian hijau, penggunaan teknologi terkini, pembangunan modal insan serta pembangunan industri secara bersepadu daripada industri huluan, pertengahan dan hiliran bagi meningkatkan nilai tambah produk,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Liga Lundu 2026: Aksi suku akhir dijangka sengit

LUNDU: Saingan peringkat suku akhir kempen Liga Lundu 2026 berlangsung hujung minggu ini (Sabtu dan Ahad). Pertembungan melibatkan lapan pasukan terbaik itu dijangka sengit kerana