KUCHING: Seorang lelaki berusia lingkungan 57 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia selepas memberhentikan motosikalnya di tepi Jalan Bukit Bayor ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Tabuan Jaya menuju ke tempat kerja di Perhentian Bas Kuching.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa memberhentikan motosikalnya di sebelah kiri jalan sebelum tiba-tiba rebah di jalan raya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata, pihak polis menerima laporan kejadian itu kira-kira 8 pagi pada hari sama.
Beliau memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Tamimi Majni di talian 017-2046414 atau 082-259900.
“Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.



