SRI AMAN: Seorang bapa tiri yang disabitkan atas dua pertuduhan sumbang mahram terhadap anak tirinya berusia 16 tahun bukan sahaja dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan, malah turut diperintahkan menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Lelaki berusia 36 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara masing-masing 15 dan 18 tahun serta keseluruhan 17 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sri Aman, Isnin lalu.
Pengakuan bersalah tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Iris Awen sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan, termasuk tambahan dua tahun penjara serta tiga sebatan mengikut Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK).
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sembilan sebatan, yang turut merangkumi tambahan dua tahun penjara serta tiga sebatan mengikut seksyen sama.
Kedua-dua hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh sabitan pada 19 Oktober lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan mengikut Seksyen 26 AKSTK, selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman, selaras dengan Seksyen 27 akta berkenaan.
Keputusan itu mencerminkan ketegasan tindakan undang-undang ke atas kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, khususnya apabila pelaku mempunyai hubungan kekeluargaan dan kepercayaan dengan mangsa.





