LUNDU: Saingan peringkat suku akhir kempen Liga Lundu 2026 berlangsung hujung minggu ini (Sabtu dan Ahad).
Pertembungan melibatkan lapan pasukan terbaik itu dijangka sengit kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.
Dua perlawanan berlangsung pada Sabtu (24 Oktober) yang menyaksikan Kasuka FC menentang Seabird FC jam 2 petang. Disusuli perlawanan antara Bajo Mix FC dengan Rambungan FC jam 4 petang.
Sementara itu, dua lagi perlawanan berlangsung pada Ahad (25 Oktober).
Pasukan Sampadi FC akan menentang Horis FC jam 2 petang dan Fadzio FT menentang Belia Sileng jam 4 petang.
Kesemua perlawanan untuk dua hari itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Lundu.
ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan percaya satu pertembungan sengit berlaku melibatkan kesemua perlawanan tersebut.
“Kita percaya ia pasti menjanjikan aksi cukup sengit,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, empat pasukan yang berjaya beroleh kemenangan hujung minggu ini akan layak ke separuh akhir.
Liga Lundu 2026 menyediakan hadiah lumayan.
Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM3,000, piala dan pingat.
Pasukan yang menduduki tempat ketiga pula akan menerima wang tunai RM1,000, piala dan pingat.
Berbanding wang tunai RM700 dan pingat untuk pasukan yang menduduki tempat keempat.
Tidak hanya itu, hadiah berupa piala menanti pasukan terbaik, pemain terbaik, penjaring terbanyak dan pemain harapan.



