KUCHING: Mesin penghasilan bebola benih (seedball) yang dibangunkan menerusi kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini mampu menghasilkan sehingga 3,000 unit sehari bagi menyokong usaha pemulihan hutan, termasuk di kawasan sukar diakses.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, teknologi itu menyediakan kaedah alternatif bagi melaksanakan program restorasi hutan, sekali gus memperluas pilihan pendekatan pemulihan yang lebih praktikal dan efisien.
“Kerjasama itu bertujuan meneroka, membangunkan dan mengaplikasikan teknologi perhutanan yang bersesuaian dengan keperluan pengurusan hutan di Sarawak, selain meningkatkan keberkesanan operasi perhutanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam masa yang sama katanya, beberapa lagi kerjasama strategik telah dan akan dilaksanakan bagi memperkasakan usaha konservasi serta pemindahan kepakaran dan teknologi.
Antaranya, Memorandum Perjanjian (MoA) di antara SFC, Jabatan Hutan Sarawak dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk melaksanakan operasi Wildlife Monitoring and Rescue (WiMoR) di projek hidroelektrik (HEP) Baleh.
Selain itu, Memorandum of Understanding (MoU) di antara SFC, Universiti Malaysia Terengganu dengan Universiti Malaya bagi menjalankan kajian berkaitan keberkesanan Tukun Reef Ball; MoU di antara SFC dengan STATOS untuk kerjasama di dalam bidang berkaitan ekopelancongan dan pembangunan modal insan dan Kerjasama di antara SFC dengan TEGAS dalam pelaksanaan program STEM, inovasi dan kesedaran awam berkenaan konservasi dan alam sekitar.
Dalam masa yang sama kata Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu, Kerajaan Sarawak mengeluarkan tiga lesen karbon hutan setakat Oktober ini yang melibatkan kawasan seluas 56,816.20 hektar serta lapan entiti diberikan Permit Kajian Karbon yang melibatkan kawasan seluas 178,740 hektar.
“Permit ini membolehkan pemegang permit menjalankan kajian serta menyediakan Sarawak Project Design Document (SPDD), yang merupakan salah satu keperluan bagi permohonan Lesen Karbon Hutan,” jelasnya.
Ujarnya bagi memastikan pembangunan karbon hutan dilaksanakan berasaskan maklumat saintifik yang tepat, kerajaan akan terus memperkukuh penyelidikan dan keupayaan teknikal melalui penggunaan teknologi moden, termasuk Light Detection and Ranging (LiDAR).
“Pendekatan ini penting untuk meningkatkan ketepatan penilaian potensi karbon hutan, menyokong perancangan berasaskan data dan memastikan aktiviti karbon hutan dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan integriti ekosistem serta kepentingan masyarakat,” jelasnya.



