ARTIKEL

Awang Tengah melihat teks ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini | Foto: Mohd Alif Noni

Sarawak tanam 65 juta pokok, sasar tambahan 50 juta menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menanam lebih 65 juta pokok sejak 2021 hingga Oktober 2026, melepasi sasaran 35 juta pokok di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Malaysia.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri menyasarkan penanaman 50 juta pokok tambahan menjelang 2030 menerusi Penghijauan Malaysia 2.0.

Beliau berkata, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada jumlah pokok yang ditanam, malah turut merangkumi kadar kelangsungan hidup pokok dan keberkesanan pemulihan ekosistem.

“Penyelidikan saintifik serta penggunaan teknologi dron dan pemetaan digital akan terus dimanfaatkan bagi memastikan usaha pemulihan hutan menghasilkan manfaat ekologi yang berkekalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Jelasnya, Sarawak terus memperkukuh pengurusan hutan secara mampan berasaskan sains dan teknologi bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar serta kelestarian sumber hutan untuk generasi akan datang.

Katanya, sehingga kini Sarawak mengekalkan kira-kira 7.64 juta hektar kawasan berhutan, bersamaan 62 peratus daripada keluasan negeri.

“Sarawak juga merupakan wilayah yang mempunyai keluasan kawasan berhutan terbesar di Malaysia, sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan, selaras dengan Deklarasi Rio de Janeiro 1992,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata kerajaan melalui Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) mewartakan lima kawasan daratan baharu sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) pada 2026, melibatkan keluasan 4,484.75 hektar.

Selain itu, katanya Sarawak turut mewartakan 1,243,726 hektar kawasan marin sebagai kawasan terlindung sepenuhnya.

Secara keseluruhan, Sarawak kini mempunyai 71 kawasan terlindung sepenuhnya merangkumi ekosistem daratan dan marin, dengan keluasan 2,123,204.28 hektar.

Awang Tengah berkata, kerajaan turut komited memulihkan 200,000 hektar hutan terosot menjelang 2030 menerusi Greening Sarawak Campaign.

Sementara itu, SFC menerusi Rewilding Project berjaya menanam 104,894 anak pokok spesies tempatan di 16 kawasan terosot dalam TPA.

Pencapaian itu mencerminkan kerjasama kerajaan, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan masyarakat dalam memulihara alam sekitar serta biodiversiti.

BERITA LAIN

Sarawak perkukuh penguatkuasaan alam sekitar

KUCHING: Sebanyak 61 notis dikeluarkan hasil pemantauan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026, kata Timbalan Premier

BERITA TERBARU

Sarawak perkukuh penguatkuasaan alam sekitar

KUCHING: Sebanyak 61 notis dikeluarkan hasil pemantauan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026, kata Timbalan Premier