KUCHING: Sebanyak 61 notis dikeluarkan hasil pemantauan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu berkata, sebanyak 110 kertas siasatan turut disediakan susulan pemantauan selepas EIA dan semakan laporan pemantauan alam sekitar dalam tempoh sama.
“Sebanyak 877 lawatan pemantauan selepas EIA dilaksanakan bagi memastikan pemaju projek mematuhi terma dan syarat kelulusan yang ditetapkan.
“Sebanyak 2,972 Laporan Pemantauan Alam Sekitar (EMR) turut dikemukakan oleh perunding alam sekitar dalam tempoh berkenaan.
“Pada masa yang sama, sebanyak 69 kompaun dikeluarkan dalam tempoh sama, dengan 30 daripadanya dibayar berjumlah RM516,000, manakala 39 kes masih menunggu pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 36 laporan EIA diterima dan dinilai bagi tempoh 2 Januari hingga 30 September 2026.
Daripada jumlah itu, 25 laporan diluluskan, manakala 11 lagi diarahkan untuk dikemukakan semula bagi penambahbaikan.
“Kerajaan Sarawak terus mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar dalam perancangan pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mewajibkan pelaksanaan EIA bagi aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Sumber Asli dan Alam Sekitar (Aktiviti yang Ditetapkan) 1994.
Sementara itu, kerajaan Sarawak melalui NREB bersedia sepenuhnya mengambil alih fungsi pengurusan sisa terjadual dalam fasa pertama pemindahan autonomi alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Persediaan itu termasuk penggubalan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 (NREO 2024), yang menggabungkan peruntukan berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974) dan diluluskan Dewan Undangan Negeri pada 12 November 2024.
“Seramai 35 pegawai memperoleh pensijilan Protokol Pensampelan Sisa Terjadual (CePSWaSP), manakala 27 pegawai memperoleh pensijilan Profesional Alam Sekitar Bertauliah dalam Pengurusan Sisa Terjadual (CePSWaM).
“Sebanyak 25 pegawai lagi sedang mengikuti pensijilan CePSWaM bagi menyokong pelaksanaan fungsi berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, sebanyak 169 pemeriksaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak dan 26 lawatan teknikal turut dilaksanakan dari 2024 hingga September 2026.
“Selain itu, pengambilan 10 kakitangan bagi menyokong pelaksanaan pemindahan fungsi tersebut,” katanya.



