ARTIKEL

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati ke atas suami isteri kes bunuh wanita selepas dipaksa melacur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keadilan seorang wanita dari Perak yang dibunuh selepas dipaksa melacur untuk melunaskan hutang akhirnya terbela, selepas pembunuhnya sepasang suami isteri dikekalkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Azizah Nawawi, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan terakhir tertuduh wanita, 44, dari Subang Jaya dan suaminya, 44, dari Kuala Lumpur, untuk meringankan hukuman.

Dalam penghakimannya, Datuk Collin berkata panel berpendapat hukuman mati wajar dikekalkan selepas mempertimbangkan keseluruhan keadaan kes serta kepentingan awam.

Kedua-dua perayu dibawa keluar dari bilik Mahkamah Persekutuan oleh pegawai penjara. | Foto: Levrone Aigle

“Mangsa yang berada dalam keadaan terdedah mengalami penderaan berterusan dan dijerut pada leher, sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam sebuah bagasi dan dicampakkan ke tepi jalan.

“Keadaan ini merupakan faktor yang memberatkan kesalahan dan mengatasi sebarang faktor yang boleh meringankan hukuman, jika ada.

“Walaupun hukuman mati mandatori dimansuhkan menerusi pindaan undang-undang pada 2023, mahkamah kini mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup bagi kes yang bersesuaian,” katanya dalam penghakimannya hari ini.

Jelasnya, panel sebulat suara berpendapat hukuman mati terhadap kedua-dua perayu wajar berdasarkan keseriusan pembunuhan dan keadaan jenayah itu dilakukan.

Mahkamah turut mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap pasangan berkenaan adalah wajar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai, manakala pasangan tersebut masing-masing diwakili peguam lantikan mahkamah, Jong Yee Ling dan Datuk Candida Entri.

Pasangan itu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Julai 2023 selepas didapati bersalah membunuh Heng Heow Lin, 38, di sebuah rumah di Jalan Tong Sang, Sibu, antara 10 malam hingga 6 pagi pada 4 hingga 6 Oktober 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap kedua-duanya selepas menolak rayuan mereka.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Heng meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan badan selepas didera di sebuah rumah.

Mayat wanita yang berasal dari Perak itu kemudian dimasukkan ke dalam sebuah bagasi dan dibuang di Jalan Aman, Sibu sebelum ditemui orang awam kira-kira 6.30 pagi pada 6 Oktober 2020.

Fakta kes mendedahkan, Heng dan anak perempuannya yang ketika itu berusia 16 tahun berpindah dari Perak ke Sibu pada Mac 2016 dan tinggal bersama-sama pasangan berkenaan.

Heng, yang bekerja sebagai tukang masak dan merupakan sepupu kepada salah seorang perayu, meminjam wang sebanyak RM800.

Bagaimanapun, ibu dan anak itu mengalami penderaan secara mental dan fizikal apabila bergelut untuk membayar hutang berkenaan.

Kedua-dua perayu, yang turut dikenali dengan gelaran ‘Along Harimau’, memaksa Heng dan anaknya melacurkan diri bagi melunaskan hutang tersebut.

Mereka juga mengambil wang hasil pelacuran kedua-dua mangsa dan mendera mereka sekiranya wang yang diperoleh tidak mencukupi.

Pada hari kejadian, penderaan terhadap Heng semakin teruk sehingga membawa kepada kematiannya apabila mangsa dijerut menggunakan kain merah.

Mayatnya kemudian dimasukkan ke dalam bagasi bersama dengan nota kecil yang mendakwa mangsa membunuh diri, bagi menutup kejadian pembunuhan terbabit.

Anak perempuan mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri daripada terus menjadi mangsa penderaan.

BERITA LAIN

Sarawak perkukuh penguatkuasaan alam sekitar

KUCHING: Sebanyak 61 notis dikeluarkan hasil pemantauan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026, kata Timbalan Premier

BERITA TERBARU

Sarawak perkukuh penguatkuasaan alam sekitar

KUCHING: Sebanyak 61 notis dikeluarkan hasil pemantauan Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA) di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026, kata Timbalan Premier