ARTIKEL

Dr Khairuddin pada perasmian 38th International Conference of Analytical Sciences (SKAM 38th) di Kuching semalam. | Ghazali Bujang

Sains analisis penting pacu pembangunan tenaga baharu, ekonomi hijau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ketepatan analisis saintifik menjadi antara keperluan penting bagi merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, khususnya dalam pembangunan tenaga baharu dan ekonomi hijau.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kepakaran saintis analisis diperlukan bagi memastikan ketulenan hidrogen, mengesahkan penyimpanan karbon, menjamin kualiti makanan eksport serta memantau tahap kesihatan sungai.

“Pengukuran saintifik yang tepat dan boleh dipercayai turut menjadi asas kepada pembangunan ubat-ubatan berasaskan biodiversiti hutan hujan Sarawak.

Dr Khairuddin mewakili Sagah merasmikan SKAM38. | Ghazali Bujang

“Dalam erti kata ini, saintis analisis merupakan antara penyumbang penting yang kurang mendapat perhatian dalam membina Sarawak mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khas MEITD, Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid sebelum merasmikan Simposium Kimia Analisis Malaysia ke-38 (SKAM38) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Jelasnya, pembangunan hidrogen, tenaga boleh baharu, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta industri semikonduktor memerlukan sokongan sains yang kukuh.

Dr Khairuddin berbual dengan peserta dari luar negara di SKAM38. | Ghazali Bujang

“Sarawak perlu memperluas penyertaan generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memastikan negeri ini dapat memanfaatkan sepenuhnya potensinya.

“Jika kita tidak dapat menarik golongan muda untuk menjadi saintis, jurutera dan inovator, negeri ini tidak akan mencapai potensi sepenuhnya, peluang tersebut hanya dinikmati sebahagian kecil daripada penduduk,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak telah mengambil langkah memperkukuh pendidikan STEM di sekolah, memperluas peluang biasiswa dan akses ke universiti serta menyokong penyelidikan dan inovasi melalui agensi seperti Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak.

“Usaha berkenaan memerlukan kerjasama universiti dan persatuan profesional, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Persatuan Kimia Analisis Malaysia (ANALIS), bagi meluaskan penyertaan dalam bidang berkenaan.

“Penyelidik juga digalakkan untuk menghubungkan hasil kajian dengan keperluan sebenar masyarakat dan industri memandangkan Sarawak menawarkan pelbagai ruang penyelidikan, daripada kawasan paya gambut dan perairan pesisir pantai hingga kepada produk makanan tradisional serta industri tenaga baharu,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa hasil penyelidikan tidak seharusnya terhad kepada penerbitan jurnal sahaja.

“Terjemahkannya kepada piawaian, produk, syarikat pemula dan dasar yang dapat mewujudkan pekerjaan serta melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau berharap SKAM38 dapat membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan baharu, memperluas peluang kepada bakat muda dan menggalakkan penggunaan ilmu saintifik untuk menyokong pembangunan mampan.

Persidangan itu menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara, dengan tema Memupuk Keterangkuman dalam Sains Analisis ke Arah Inovasi Transformatif dan Mampan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU