KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan RM199.62 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), bagi melaksanakan 25 projek taman perindustrian di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata dengan peruntukan berkenaan, industri sokongan dan perusahaan tempatan digalakkan membuka operasi berhampiran pusat perindustrian utama bagi memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
“Keutamaan kita ialah memastikan taman perindustrian dibangunkan berdasarkan permintaan sebenar pelabur, daya maju komersial, kelestarian alam sekitar dan kesiapsiagaan infrastruktur,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian MINTRED pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Sehubungan itu, pertumbuhan industri memerlukan tanah yang sedia untuk pelaburan, kemudahan utiliti yang boleh dipercayai, bekalan tenaga elektrik yang mencukupi serta jaringan pengangkutan yang cekap.
“Semua ini merupakan keperluan asas untuk menarik pelaburan baharu dan menyokong peluasan industri sedia ada.
“Malah, bekalan elektrik yang stabil pada kadar harga yang kompetitif semakin penting dalam menarik pelaburan bernilai tinggi dan berintensifkan tenaga, khususnya dalam sektor semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa dan pembuatan termaju,” tambahnya.
Dari sudut pelaburan, kata Awang Tengah, dasar Sarawak perlu memastikan perancangan tenaga diselaraskan rapat dengan pembangunan industri.
“Pelabur memerlukan kepastian bahawa bekalan tenaga yang mencukupi tersedia pada masa yang tepat, pada kadar yang kompetitif dan daripada sumber yang mampan.
“Pengenalan garis panduan pembangunan pusat data juga penting bagi memastikan pelaburan baharu selaras dengan ketersediaan tenaga, kapasiti infrastruktur dan keperluan kelestarian,” ujarnya.
Dalam sektor maritim kata Awang Tengah, industri pembinaan dan pembaikan kapal kekal penting, khususnya di Sibu dan Miri, kerana menyumbang kepada eksport serta peluang pekerjaan berkemahiran.
Katanya, industri itu akan terus disokong melalui penambahbaikan kemudahan, penggunaan teknologi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, khususnya dalam pembinaan kapal bernilai tinggi, pembaikan kapal dan kejuruteraan marin.
Bagi cadangan Taman Perindustrian Pembinaan Kapal Baharu di Paloh, Tanjung Manis, yang diterajui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), beliau berkata ia dijangka membuka peluang peluasan industri dan pelaburan baharu serta membangunkan ekosistem perindustrian maritim bersepadu.
Jelasnya, pelaburan sektor swasta, termasuk Kota Petra Green Technology Park dan Kenyalang Smart City, turut melengkapi usaha kerajaan memperluas infrastruktur perindustrian dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.
Awang Tengah berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri bagi menyelaraskan perancangan infrastruktur, keperluan tenaga, pemudahcaraan pelaburan serta pembangunan tenaga kerja mengikut permintaan industri.
Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada usaha menyediakan persekitaran perindustrian yang berdaya saing dan bersedia menerima pelaburan, sekali gus menyokong industri bernilai tinggi, memperkukuh perniagaan tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Sarawak.



