BINTULU: Sarawak terus memperkukuh agenda autonomi dan pembangunan jangka panjangnya dengan memberi tumpuan kepada kawalan ke atas aset strategik serta pembangunan modal insan sebagai asas kepada transformasi ekonomi negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata langkah Kerajaan Sarawak mengambil alih Pelabuhan Bintulu serta cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang mencerminkan usaha berterusan Sarawak dalam memperkukuh kedudukan strategiknya.
Menurut beliau penguasaan terhadap infrastruktur utama seperti pelabuhan, lapangan terbang dan rangkaian perhubungan adalah penting bagi membolehkan Sarawak merancang pembangunan mengikut keutamaan sendiri.
“Tanpa kawalan ke atas infrastruktur strategik, sukar untuk kita menentukan hala tuju masa depan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Kedua bagi DUN Kemena kepada 43 penerima yang melibatkan peruntukan RM594,400 di Bilik Mesyuarat Jabatan Pertanian Bintulu pada Kamis.
Dr Rundi berkata, kestabilan politik di Sarawak turut menjadi faktor utama yang membolehkan negeri itu terus berunding secara berkesan dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tegasnya lagi kepimpinan negeri sentiasa memberi tumpuan kepada tuntutan yang dianggap hak Sarawak tanpa mengambil pendekatan berlebihan atau bertentangan dengan kerangka persekutuan.
“Kestabilan politik membolehkan kita merancang pembangunan jangka panjang mengikut keutamaan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Sarawak kini semakin dikenali sebagai ‘negeri elektro-petroleum’ susulan kekuatan sumber tenaga elektrik serta minyak dan gas, selain berpotensi berkembang sebagai ekonomi berasaskan hidrogen pada masa depan.
Jelasnya pelbagai projek infrastruktur sedang giat dilaksanakan termasuk jaringan jalan pesisir dan pembinaan jambatan dengan 29 buah jambatan sedang dibangunkan di seluruh negeri menggunakan dana kerajaan negeri.
Selain pembangunan fizikal, Dr Rundi turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan menerusi pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak serta penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita memerlukan bakat berkualiti dan usaha membangunkan keupayaan kerana masa depan bergantung kepada modal insan dan kemajuan teknologi,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dalam menilai maklumat di media sosial serta platform kecerdasan buatan (AI) supaya tidak mudah terpengaruh dengan kandungan sensasi.
“Media sosial dan AI adalah alat penting, tetapi pengguna perlu bijak menilai maklumat yang bermanfaat dan sebaliknya,” tegas beliau.



