ARTIKEL

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOBC) 4.0 di Tapak Letak Kereta Boulevard Miri, di sini, malam tadi. FOTO UKAS

Sarawak perkukuh hubungan budaya dengan China

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Hubungan sejarah dan budaya antara Sarawak dengan China perlu terus diperkukuh sebagai asas kepada usaha memupuk keamanan, persefahaman bersama dan perpaduan serantau, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, hubungan Sarawak dan China telah terjalin sejak ratusan tahun lalu menerusi pelayaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He, iaitu seorang penjelajah dan pelayar Muslim yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan hubungan perdagangan serta diplomatik antara China dengan rantau Asia Tenggara.

“Justeru, saya juga mengalu-alukan kehadiran rombongan dari China. Kita sememangnya mempunyai hubungan sejarah melalui Zheng He, seorang penjelajah dari Yunnan.

“Beliau datang ke sini sebagai seorang penjelajah Muslim berbangsa Cina yang membantu mewujudkan hubungan awal antara China dengan rantau ini, termasuk Melaka, dan beliau juga singgah di Borneo. Dari situlah bermulanya hubungan perdagangan dan persahabatan antara China dengan rantau ini, termasuk Brunei,” katanya.

Sekitar rakaman kenangan semasa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOBC) 4.0 di Tapak Letak Kereta Boulevard Miri, di sini, malam tadi. FOTO UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOBC) 4.0 di Tapak Letak Kereta Boulevard Miri, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, kini sudah tiba masa hubungan bersejarah itu dihidupkan semula dalam konteks moden bagi memperkukuh kerjasama dan persahabatan antara negara serta masyarakat.

“Kita menghidupkan semula hubungan antara masyarakat Cina dengan penduduk di bahagian dunia ini. Ini ialah rantau yang aman — Sarawak yang aman, Borneo yang aman,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai acara berkenaan, beliau memuji penganjur kerana berjaya mengembangkan karnival budaya tersebut daripada hanya melibatkan Borneo kepada penyertaan negara jiran serta rakan antarabangsa.
“Pada mulanya program ini hanya tertumpu di Borneo. Kemudian ia diperluaskan kepada jiran kita di Sabah dan Brunei. Malam ini, kita meraikannya bersama-sama jiran kita dari Indonesia dan juga saudara jauh kita, China. Tahniah kepada pihak penganjur.

“Pertukaran budaya seperti ini penting bukan sahaja untuk mempamerkan warisan dan tradisi, malah bagi memupuk rasa hormat serta persefahaman dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan budaya.

“Sudah tentu kita mahu mempamerkan budaya dan tradisi kita, tetapi yang lebih penting ialah kita mesti menghargai budaya antara satu sama lain. Melalui penghargaan itu, kita dapat hidup bersama dalam keadaan harmoni dan saling menghormati,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata perpaduan dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya akan terus membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Dengan perpaduan dan sikap saling menghargai seperti ini, kita dapat bekerjasama dan semua pihak memperoleh manfaat. Setiap masyarakat menikmati hasil pembangunan.

“Sekurang-kurangnya malam ini kita berkongsi kegembiraan bersama-sama. Di tempat lain, ada masyarakat yang berdepan konflik sehingga tidak dapat menikmati kehidupan,” jelasnya, sekali gus menyatakan kepelbagaian budaya serta sikap saling menghormati membolehkan Sarawak terus membangun.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU