KUCHING: Pembinaan Pusat Pemprosesan dan Pengumpulan Komoditi (CPPC) Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa dijangka siap pada September 2027.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia berdasarkan tempoh kontrak selama 18 bulan bermula 16 Mac 2026.
Dalam pada itu, beliau merangkap ADUN Bukit Kota itu memberitahu pelan pembangunan industri gula apong menumpukan kepada peningkatan bekalan nira, pemodenan pemprosesan serta pembangunan usahawan dan pemasaran.
“Di bawah Rancangan Boleh Pinda (RP1) 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) melaksanakan Program Peningkatan Produktiviti Pekebun Kecil Nipah bagi Kelestarian Bekalan Nira, dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta.
“Program ini meliputi penambahbaikan akses, bantuan input dan peralatan, pemulihan kawasan serta latihan pekebun kecil, termasuk di Beting Maro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Beting Maro Datuk Razaili Gapor pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Tambahnya, projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu serta CPPC Gula Apong di Kg. Tambak, Pusa menerima peruntukan RM11 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Ini melibatkan kawasan nipah seluas 14.6 hektar, termasuk 4.3 hektar yang ditanam secara ladang,” ujarnya.
Selain, Projek Pembangunan Usahawan Sagu dan Nipah di Kawasan N29 Beting Maro, Daerah Pusa diperuntukkan RM700,000 di bawah BDDA bagi penyediaan mesin dan peralatan pemprosesan.
Menjawab soalan perancangan mewujudkan sebuah taman agro di kawasan Beting Maro, beliau memberitahu konsep tersebut merujuk kepada pembangunan kawasan pertanian secara bersepadu.
“Taman tersebut menggabungkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk pertanian dalam satu rantaian nilai bagi meningkatkan produktiviti, nilai tambah dan pendapatan pengusaha,” jelasnya.
Di kawasan Beting Maro, pendekatan ini diterapkan melalui Projek Pembangunan Ladang dan Perusahaan Nipah Bersepadu oleh SNDB.
Katanya, projek ini melibatkan kawasan nipah seluas 14.6 hektar dan CPPC Gula Apong di Kampung Tambak, Pusa, Betong.
“Pendekatan ini mencerminkan elemen utama pembangunan Taman Agro , iaitu mengintegrasikan pengeluaran pertanian dengan industri hiliran untuk mewujudkan rantaian bekalan yang lebih tersusun dan meningkatkan nilai ekonomi hasil pertanian tempatan.


