KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan industri kreatif menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Industri Kreatif Sarawak (SCICC) yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Inisiatif itu dilaksanakan berikutan potensi besar industri kreatif dalam menjana peluang pekerjaan, merangsang inovasi serta mengukuhkan identiti budaya, di samping menyokong pertumbuhan pelancongan dan pembangunan masyarakat.
Kepelbagaian budaya, warisan yang masih terpelihara serta bakat kreatif rakyat Sarawak menjadi kelebihan besar untuk membangunkan ekonomi kreatif yang lebih mampan dan berdaya saing.

Sehubungan itu, Snowdan berkata, penubuhan SCICC membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kerjasama antara pemain industri, institusi pengajian tinggi dan masyarakat bagi merangka dasar serta inisiatif yang memenuhi keperluan semasa industri.
“Pembangunan industri kreatif memerlukan penyelarasan menyeluruh kerana kejayaannya tidak mampu digerakkan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kolaborasi yang berterusan.
“SCICC berfungsi sebagai platform strategik untuk menyalurkan pandangan dan cadangan kepada kementerian dalam memperkasa pembangunan industri kreatif melalui empat kumpulan tugas khusus meliputi seni kreatif; seni, budaya dan warisan; produksi media serta teknologi maklumat; dan reka bentuk,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, kementerian turut membentangkan pendekatan memperkukuh ekosistem industri kreatif dengan menggabungkan pembangunan bakat bersama peluang pemasaran dan pengkomersialan.

Melalui Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian, pelbagai program seperti bengkel kraftangan tradisional, latihan seni persembahan, dokumentasi warisan, pameran dan penerbitan terus dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan penggiat seni dan budaya, manakala Geran Acara menyokong penganjuran festival sebagai platform memasarkan produk kreatif tempatan.
Antara program yang diketengahkan ialah Festival Gastronomi Nyamai Sarawak dan Pertandingan Kulinari Antarabangsa TAPAS Asia yang berjaya mempromosikan warisan makanan negeri, membuka peluang jaringan perniagaan serta meningkatkan pendapatan usahawan dan pengusaha makanan.
Pada masa sama, kementerian terus memberi penekanan terhadap perlindungan harta intelek dan Petunjuk Geografi (GI), termasuk pendaftaran 41 acara ikonik Sarawak di bawah perlindungan hak cipta, selain meneruskan usaha mencalonkan Buriek Kapit dan Baju Gagong Batang Rajang selepas kejayaan dokumentasi Baju Kuas Iban Balau Sri Aman bagi memelihara keaslian warisan serta meningkatkan nilai komersialnya.






