ARTIKEL

Abang Johari (duduk, tengah) bersama-sama yang lain pada sidang media sempena Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini. Foto Mohd Alif Noni

Sarawak perkukuh kedudukan dalam rantaian nilai tinggi semikonduktor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kini bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi dengan memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk semikonduktor sebatian, integrasi cip termaju dan elektronik tenaga, disokong dasar jangka panjang konsisten serta infrastruktur yang mantap.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berteraskan asas bahawa Sarawak kini merupakan sebahagian daripada ekosistem semikonduktor global, dengan kehadiran pemain industri yang bertapak di Zon Teknologi Tinggi Samajaya, sekali gus menyediakan asas perindustrian yang kukuh.

Abang Johari ketika berucap sempena Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini. – Foto Mohd Alif Noni

Menjelas lanjut, beliau berkata melalui Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor sebagai sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak, tumpuan diberikan kepada bahagian bernilai tinggi di peringkat hadapan rantaian nilai semikonduktor, dengan harta intelek dalam reka bentuk cip dan teknologi baharu dihasilkan.

“Dalam peranan ini, SMD merancang untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan teknologi semikonduktor sebatian termasuk bahan baharu, konsep peranti, integrasi sistem peringkat tinggi serta penciptaan harta intelek, sambil bekerjasama rapat dengan rakan pembuatan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor, Yayasan Sarawak dan University of Bristol, United Kingdom di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini.

Abang Johari menambah, ia juga akan meletakkan SMD sebagai pemangkin industri, menterjemahkan hasil penyelidikan kepada pembangunan produk, teknologi dan aplikasi yang selaras secara langsung dengan keutamaan jangka panjang Sarawak.

“Model ini membolehkan Sarawak membina keupayaan yang bermakna dan boleh diskalakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada fabrikasi yang memerlukan pelaburan modal yang tinggi, sambil kekal terhubung sepenuhnya dengan rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU