ARTIKEL

Datuk Dr Hazland Abang Hipni

Sarawak perkukuh kedudukan sebagai hab tenaga bersih serantau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kini beralih daripada fasa perancangan dasar kepada pelaksanaan tenaga hijau yang lebih pantas di lapangan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga bersih strategik di rantau ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, transformasi tenaga hijau negeri kini bergerak seiring dengan perkembangan teknologi moden, termasuk sistem penyimpanan tenaga dan pembangunan infrastruktur digital yang kukuh.

Menurutnya, strategi Sarawak tidak lagi tertumpu kepada penjanaan tenaga boleh baharu berskala besar semata-mata, sebaliknya diperluas kepada pembangunan ekosistem tenaga secara menyeluruh, termasuk penggunaan tenaga bersih teragih serta pemodenan sistem grid.

“Peralihan tenaga di Sarawak bukan lagi sekadar strategi di atas kertas. Kita kini berada dalam fasa pelaksanaan pantas yang didorong kemajuan teknologi serta kerjasama erat antara kerajaan dengan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan Malaysia Clean Energy Week 2026 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Hazland berkata, usaha merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai hab tenaga hijau memerlukan kerjasama rentas sektor membabitkan agensi kerajaan, pemain industri, syarikat utiliti, penyedia teknologi, institusi kewangan dan pemaju projek.

Katanya, pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian jangka panjang, selain membuka peluang pelaburan baharu dalam bidang penyimpanan tenaga serta pembiayaan inovatif.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya momentum peralihan tenaga tidak hanya tertumpu kepada sektor korporat dan pembuat dasar, sebaliknya pengetahuan serta kesedaran mengenainya perlu diperluas kepada sektor perniagaan, tenaga kerja dan masyarakat umum.

“Peralihan kepada tenaga bersih bukan sekadar usaha mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga pelaburan strategik demi meningkatkan daya saing, daya tahan dan kemakmuran negara,” katanya.

Malaysia Clean Energy Week 2026 yang berlangsung selama sehari di Kuala Lumpur pada 20 Ogos lepas merupakan edisi keempat program berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai The Solar Week Malaysia.

Program itu kini diperluas skopnya bagi merangkumi keseluruhan ekosistem tenaga bersih, termasuk teknologi penyimpanan tenaga bateri, pemodenan grid pintar serta pembiayaan hijau, selaras dengan usaha menyokong sasaran peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU