KUCHING: Sarawak memperkukuh kerjasama strategik dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam pembangunan piawaian kedaulatan digital dan kecerdasan buatan (AI) menerusi penyertaan dalam Sesi Pertukaran Pakar Peringkat Tinggi dan Perbincangan Meja Bulat Malaysia-EU di bawah Dialog ASEAN-EU di Berlin, Jerman, hari ini.
Delegasi Kerajaan Sarawak pada program tersebut diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Menurut Muhammad Abdullah, Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi bernilai tinggi melalui pembangunan strategik dalam sektor ekonomi digital, AI serta tenaga boleh diperbaharui.
“AI berpotensi memperkukuh pentadbiran awam menerusi penyederhanaan proses kerja, peningkatan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Bagaimanapun, aspek kedaulatan digital perlu diperkukuh bagi membangunkan keupayaan AI yang dipercayai dan inklusif.
“Justeru, kerjasama strategik antara ASEAN dengan EU khususnya melalui Sarawak, berpotensi menghasilkan impak besar dalam mempercepat inovasi, penggunaan teknologi dan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.
Sementara itu, mengenai penyertaan dalam sesi tersebut, beliau berkata antara perkara yang dibincangkan termasuk pendekatan bersama Asia dan Eropah terhadap strategi kedaulatan digital dan AI.

“Ia turut merangkumi perbincangan mengenai pembangunan hidrogen, infrastruktur pusat data yang mampan dan mesra alam, penubuhan Hab Agentic AI serta kerjasama dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan dasar.
“Sesi ini turut memperkukuh komitmen semua pihak untuk mempromosikan pembangunan AI yang bertanggungjawab serta meningkatkan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan dalam membentuk landskap digital masa hadapan,” jelasnya.
Program tersebut menghimpunkan wakil kerajaan, ahli akademik serta pemain industri dari Asia dan Eropah bagi membincangkan tadbir urus AI, strategi kedaulatan digital serta peluang kerjasama dalam membangunkan ekosistem AI yang dipercayai, selamat dan mampan.
Terdahulu, sesi dimulai dengan ucapan Pengarah Perwakilan Schleswig-Holstein kepada Kerajaan Persekutuan Jerman, Udo Bunnagel yang menyentuh perubahan dunia daripada sistem tradisional berasaskan dokumen fizikal kepada era digital berasaskan pengkomputeran awan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Dasar Digital, Kementerian Hal Ehwal Digital dan Pemodenan Jerman, Frank Kruger; Kaunselor Kedutaan Malaysia di Berlin, Rozaime Mohamed Desa; Presiden ASEAN Business Club, Tan Sri Dr Munir Majid; Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak, Datuk Dr Anderson Tiong; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC), Profesor Dr Patrick Then.


