ARTIKEL

Uggah menerima kunjungan hormat Naib Laksamana Bersara Peter Gautier di Kuching, hari ini.

Sarawak perkukuh kesiapsiagaan bencana maritim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha memperkukuh kesiapsiagaan bencana di Sarawak, khususnya melibatkan komuniti pesisir pantai dan kawasan sungai, menjadi fokus utama dalam kunjungan hormat Naib Laksamana Bersara Peter Gautier kepada Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.

Menurut Pejabat Timbalan Premier, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pengurusan krisis dan bencana, dengan penekanan khusus kepada kecemasan maritim yang sering memberi kesan besar kepada negeri ini.

“Perbincangan turut menyentuh penyesuaian model pengesanan cuaca dan perancangan pemindahan awal.

“Ia bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas bencana, khususnya untuk komuniti pesisir pantai dan kawasan sungai,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, kedua-dua pihak menegaskan kepentingan kerjasama institusi, pembinaan kapasiti dan pertukaran pengetahuan dalam meningkatkan daya tahan Sarawak terhadap bencana.

“Ini termasuk melalui latihan, bantuan teknikal serta perkongsian amalan terbaik dalam penyelarasan kecemasan dan sistem perintah dan kawalan.

“Selain itu, kedua-dua pihak turut berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengurusan bencana serta krisis,” katanya lagi.

Pada pertemuan sama, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkongsi pengalaman luasnya dalam mengendalikan pelbagai situasi bencana di negeri ini, termasuk banjir, pandemik COVID-19, kebakaran serta insiden jerebu.

Sementara itu, Peter yang juga bekas Pemangku Timbalan Komandan dan Pemangku Timbalan Ketua Perkhidmatan Pengawal Pantai Amerika Syarikat, menggariskan program kerjasama sedia ada serta berpotensi dalam bidang pendidikan, komunikasi, pembangunan kepimpinan dan biodiversiti.

Selain itu, Peter bakal menyampaikan syarahan umum di Pustaka Negeri Sarawak bertajuk Daripada Krisis kepada Kerjasama: Kajian Kes dalam Pengurusan Insiden Maritim Amerika Syarikat.

Untuk rekod, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinannya dalam mengendalikan persekitaran krisis yang kompleks, beliau dianugerahkan Anugerah Meta-Leader of the Year oleh Universiti Harvard pada tahun 2024.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU