ARTIKEL

Sekitar lawatan kerja Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, di sini, semalam. FOTO UKAS

Sarawak perkukuh pendidikan digital menerusi bilik darjah pintar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAPIT: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pendidikan digital dengan mencadangkan penggunaan bilik darjah pintar yang dilengkapi papan digital (digital board) di sekolah-sekolah sebagai usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan tersebut membolehkan kandungan pembelajaran diakses secara dalam talian, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara terkawal dan bertanggungjawab.

“Saya telah mencadangkan supaya ada bilik darjah pintar (smart classroom) yang menggunakan papan digital. Ini boleh diakses secara dalam talian bagi semua subjek, termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Namun, penggunaan AI perlu dikawal, khususnya bagi murid berumur 16 tahun ke bawah. Digital board ini akan menjadi satu pendekatan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan murid mengenai penggunaan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, di sini, semalam bagi meninjau projek pembangunan semula sekolah daif yang telah siap sepenuhnya pada 2025.

Tambahnya, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperluas penggunaan teknologi digital dalam sektor pendidikan, di samping memastikan murid didedahkan kepada teknologi secara beretika dan berhemah.

Sepanjang lawatan itu, beliau turut diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebelum meninjau blok akademik, blok pentadbiran serta pelbagai kemudahan baharu yang disediakan di sekolah berkenaan.

Untuk rekod, projek pembangunan semula SK Kampung Baru bernilai RM12.84 juta itu melibatkan pembinaan sebuah blok akademik empat tingkat dan sebuah blok pentadbiran empat tingkat yang lengkap dengan kemudahan moden, termasuk bilik sains, pusat sumber, pejabat guru, bilik pentadbiran serta kemudahan sokongan lain.

Projek tersebut memberi manfaat kepada 260 murid dan 33 guru serta berjaya menghapuskan status sekolah daif dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

BERITA TERBARU