MIRI: Pelaksanaan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) dijangka memberikan Sarawak fleksibiliti dalam menentukan kemasukan pekerja asing mengikut keperluan tenaga kerja dan industri di negeri ini.
Penasihat di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Ken Leben berkata, pendekatan berkenaan akan memperkukuh keupayaan Sarawak mengawal, mengurus dan memantau kemasukan tenaga kerja asing secara lebih tersusun.

Menurutnya, FWTA yang dibangunkan Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) turut menyediakan data lebih tepat bagi membantu kerajaan membuat perancangan berkaitan tenaga kerja, pembangunan ekonomi dan dasar.
“Data tersebut juga penting untuk perancangan dasar, pembangunan ekonomi, perancangan tenaga kerja dan pembuatan keputusan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Program SCSIMon Industry Update, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ken memberitahu, pelaksanaan FWTA selaras dengan aspirasi kerajaan negeri memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dan penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Ujarnya, kerajaan Sarawak kini dalam proses mengintegrasikan FWTA dengan sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Program selama dua hari sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 itu menghimpunkan agensi kerajaan dan pemain industri bagi mendapatkan penerangan pengurusan pekerja bukan pemastautin di Sarawak.


