ARTIKEL

Dr. Sim bercakap selepas merasmikan Persidangan Kardiologi Borneo sempena ulang tahun ke-25 Pusat Jantung Sarawak bersama-sama Dr. Ong (kiri) dan Dr. Alan (kanan)

Sarawak Perlu 30 Lagi Pakar Jantung, Kurangkan Risiko Kelewatan Rawatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Faktor geografi Sarawak yang luas serta keperluan rawatan segera bagi pesakit jantung menjadikan penambahan pakar kardiologi sebagai satu keperluan mendesak, terutama bagi mengurangkan risiko kelewatan rawatan yang boleh mengancam nyawa.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, berbeza dengan penyakit lain yang masih mempunyai tempoh tertentu untuk mendapatkan rawatan, pesakit jantung memerlukan tindakan pantas kerana setiap minit amat penting dalam usaha menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata, keadaan itu lebih mencabar di Sarawak yang hanya mempunyai satu pusat jantung utama di Kuching, sedangkan keluasan negeri ini hampir menyamai Semenanjung Malaysia.

“Pesakit jantung tidak boleh menunggu. Apabila berlaku serangan jantung, rawatan perlu diberikan segera kerana kelewatan boleh mengundang risiko kehilangan nyawa.

“Sebab itu kita memperluas perkhidmatan ke Bintulu, Miri dan Sibu supaya rakyat mendapat akses rawatan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kardiologi Borneo sempena ulang tahun ke-25 Pusat Jantung Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak ketika ini hanya mempunyai kira-kira 20 pakar jantung berbanding keperluan sebenar sekitar 50 orang berdasarkan nisbah populasi dan keperluan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, separuh berkhidmat di sektor swasta, manakala selebihnya bertugas di Pusat Jantung Sarawak.

Dr. Sim turut mendedahkan bahawa Sarawak secara keseluruhannya masih memerlukan kira-kira 2,000 doktor tambahan bagi mencapai standard tenaga kerja kesihatan yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu, Pakar Kardiologi Kanan Pusat Jantung Sarawak, Dr. Alan Fong berkata, keluasan Sarawak yang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia menyebabkan negeri ini memerlukan lebih banyak pusat rawatan jantung berbanding yang ada ketika ini.

Beliau berkata, Semenanjung Malaysia mempunyai lapan pusat jantung, manakala Sarawak hanya mempunyai satu pusat jantung utama yang terletak di Kuching.

Justeru, Pusat Jantung Sarawak sedang memperkukuh perkhidmatan satelit di Bintulu serta membuat persediaan bagi pusat jantung satelit di Miri dan Sibu.

Dr. Alan berkata, kumpulan baharu doktor yang mengikuti latihan kepakaran kardiologi akan memulakan latihan di Pusat Jantung Sarawak pada Ogos ini sebagai persediaan memenuhi keperluan tenaga pakar di pusat tersebut.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 420 pakar jantung berdaftar, dengan hampir separuh daripadanya bertugas di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pakar Kardiologi Pusat Jantung Sarawak, Dr Ong Tiong Kiam berkata, pusat berkenaan bukan sahaja berperanan menyediakan perkhidmatan rawatan jantung kepada rakyat Sarawak, malah turut menyumbang kepada pembangunan tenaga pakar di peringkat nasional.

Menurut beliau, daripada kira-kira 420 pakar jantung yang berdaftar di Malaysia ketika ini, sekitar 10 peratus daripadanya mendapat latihan di Pusat Jantung Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU