SIBU: Perubahan gaya hidup dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang menuntut Sarawak memberi penekanan lebih besar terhadap bidang psikologi dan neurologi bagi membantu rakyat menghadapi tekanan mental serta fizikal yang semakin mencabar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan landskap kehidupan pada masa depan akan menyebabkan masyarakat berdepan tekanan yang jauh berbeza berbanding hari ini, sekali gus memerlukan lebih ramai pakar untuk memahami fungsi otak dan kesihatan mental.

“Mungkin anda tertanya kenapa psikologi dititikberatkan. Sebab hidup manusia dalam 10 hingga 20 tahun akan datang, gaya hidup mereka berubah. Tidak seperti sekarang.
“Gaya hidup baharu itu akan menyebabkan masyarakat menghadapi tekanan, sama ada tekanan mental mahupun fizikal.
“Sebab itu kita memerlukan pakar yang boleh mengkaji neurologi, bagaimana otak kita berfungsi dan bagaimana mereka boleh membantu menyelamatkan anak-anak kita,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Sibu, hari ini.
Menurutnya, tekanan hidup yang semakin meningkat boleh memberi kesan serius kepada kesejahteraan masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Ada orang apabila berdepan tekanan, mereka mudah berputus asa. Putus cinta pun ada yang sanggup mengalah dan merasakan hidup sudah tidak bermakna. Itu menunjukkan bagaimana tekanan akibat perubahan gaya hidup boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir.
“Apabila kerja semakin banyak dan masa semakin terhad, tekanan akan bertambah. Jika tidak disertai pegangan agama dan nilai yang kukuh, keadaan ini akan menjadi cabaran besar kepada masyarakat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan modal insan pada masa depan bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada aspek ilmu dan teknologi, malah turut merangkumi kesihatan mental serta kesejahteraan emosi.


