ARTIKEL

Wilson pada sesi perbahasan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI

Sarawak perlu perkukuh pengeluaran beras sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan luar bandar seperti Tamin, Selangau, Mukah, Kanowit dan Kapit berpotensi muncul sebagai hab baharu pengeluaran padi dan beras di Sarawak sekiranya dibangunkan secara moden dan tersusun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, Sarawak tidak lagi boleh terus bergantung kepada import beras memandangkan ketidaktentuan global kini semakin memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan dunia.

Katanya, perubahan iklim, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos import serta ketidakstabilan ekonomi global menjadikan isu keselamatan makanan semakin kritikal.

“Beberapa negara juga mula mengehadkan eksport makanan masing-masing bagi memastikan keperluan domestik mencukupi.

“Ini menjadi amaran jelas bahawa Sarawak perlu memperkukuh pengeluaran beras sendiri,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, keselamatan makanan kini bukan lagi sekadar isu pertanian, sebaliknya membabitkan aspek kedaulatan, keselamatan strategik dan kestabilan ekonomi jangka panjang negeri.

Bagaimanapun katanya, petani kecil masih berdepan pelbagai cabaran termasuk akses pasaran yang terhad, kekurangan modal, penggunaan teknologi yang rendah, kelemahan infrastruktur serta produktiviti yang masih rendah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kerajaan Sarawak memperluaskan sistem pengairan moden selain memperkenalkan pertanian pintar, penggunaan dron dan mekanisasi bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Katanya, pembangunan pusat pengumpulan hasil serta penyelidikan terhadap benih padi berkualiti tinggi juga perlu diperkukuh bagi membantu meningkatkan daya saing industri padi dan beras negeri.

Gira yang turut menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 menyifatkannya sebagai langkah tepat dan bersesuaian pada masanya.

Beliau berkata, penubuhan lembaga tersebut merupakan langkah strategik yang selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkukuh ekonomi, kelestarian dan keterangkuman pembangunan.

Katanya, lembaga itu bukan sekadar badan pentadbiran, sebaliknya akan berfungsi sebagai institusi pembangunan strategik yang mempunyai kuasa merancang industri padi dan beras, mengurus dana, memberi pinjaman, membuat pelaburan, menubuhkan syarikat, mengisytiharkan kawasan pembangunan, melaksanakan penguatkuasaan serta mengumpul data industri secara menyeluruh.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian yang kini perlu dilihat sebagai industri moden berasaskan teknologi, inovasi, kecerdasan buatan (AI), automasi dan keusahawanan agro.

“Kita mencadangkan agar lembaga tersebut memperkenalkan program latihan belia, skim agropreneur muda, geran permulaan, latihan teknologi pertanian moden serta peluang keusahawanan bagi menarik minat generasi muda,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut menyokong pengumpulan data industri secara menyeluruh oleh lembaga tersebut bagi membolehkan perancangan lebih tepat termasuk sasaran sara diri, simpanan strategik, ramalan permintaan dan pengurusan bekalan jangka panjang.

Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya aspek tadbir urus dan akauntabiliti diberikan perhatian serius memandangkan lembaga tersebut mempunyai kuasa kewangan yang besar termasuk kuasa meminjam, melabur dan menubuhkan syarikat.

Beliau menegaskan keperluan audit tahunan, laporan telus, pemantauan prestasi dan integriti pengurusan bagi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,