KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan masih belum mencapai persetujuan berkaitan formula penentuan pemberian khas kepada negeri ini, walaupun kadar interim kini mencecah RM1.5 bilion.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perbincangan formula tersebut masih diteruskan.
“RM1.5 bilion itu masih merupakan bayaran interim dan bukan penyelesaian muktamad kepada Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkaitan status terkini usaha mengembalikan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak mengemukakan cadangan supaya satu formula yang jelas dan konsisten diwujudkan bagi menentukan kadar pemberian khas berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini belum ada formula muktamad yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan.
Pada 16 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan pemberian khas interim kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Peningkatan itu merupakan perkembangan positif, namun Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kadar pemberian khas ditentukan menerusi formula yang dipersetujui bersama.


