KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) untuk memastikan PETROS menjalankan peranannya sebagai satu-satunya agregator gas tanpa gangguan kepada bekalan gas untuk pengguna, termasuk pelabur.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak juga menghargai peranan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dalam menyelesaikan isu berkenaan.
“Ini akan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, PETRONAS dan PETROS.
“Kerjasama strategik ini akan memacu usaha untuk menjadikan Malaysia dan Sarawak khususnya menjadi menjadi hab tenaga.
“Kerjasama ini juga akan meningkatkan daya saing global Malaysia dalam menarik pelaburan, penyelidikan teknologi dan industri baharu khususnya derivatif petrokimia sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi satu kenyataan, hari ini sebagai maklum balas ke atas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkata beliau percaya isu berkaitan PETRONAS dan PETROS mengenai hak pengagihan gas di Sarawak diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuannya dengan Abang Johari.
Anwar berkata, tidak ada kemusykilan dalam perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima Kerajaan Sarawak dan Petros.
“Tetapi kita (kerajaan persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.
Sehubungan itu, Abang Johari turut menyatakan penghargaan kepada Anwar di atas kenyataan tersebut yang dibuatnya semasa sidang media di akhir lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang antara lain mengiktiraf dengan jelas PETROS sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.


