ARTIKEL

PERHIMPUNAN… Sekitar Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sarawak, hari ini.

Sarawak rekod 11,315 tangkapan kes dadah sejak Januari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam usaha menumpaskan pengedaran dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merekodkan 11,315 tangkapan antara 1 Januari hingga 16 November 2025, meningkat 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Zainal Abdullah berkata daripada jumlah itu, 584 pengedar telah diberkas.

“Nilai rampasan pelbagai jenis dadah meningkat kepada RM29.9 juta berbanding RM29.7 juta tahun lalu. Tindakan sitaan harta berkaitan kes dadah juga melonjak daripada RM4.04 juta kepada RM17.5 juta, iaitu peningkatan 333.5 peratus, hasil penggunaan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ia termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tindakan terhadap kes terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sarawak, hari ini.

Zainal menambah, menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), empat suspek disyaki terlibat dalam pemalsuan wang kertas ditahan antara Januari hingga Oktober.

Katanya, dua daripadanya telah dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan, manakala dua lagi sedang dibicarakan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

“JSJK turut melaksanakan 271 tangkapan melalui OPS NSRC melibatkan kegiatan akaun keldai, dengan pencapaian KPI 63.76 peratus, sekali gus memperkukuh tindakan terhadap penipuan kewangan digital,” tambahnya.

Bagi indeks jenayah keseluruhan, Zainal memaklumkan Sarawak merekodkan 3,925 kes dari Januari hingga Oktober 2025, menurun sembilan peratus berbanding 4,307 kes pada tempoh sama tahun lalu.

Jenayah kekerasan, katanya, turut berkurang sedikit kepada 526 kes berbanding 535 kes pada 2024.
“Namun, beberapa kategori menunjukkan peningkatan, termasuk kes rogol yang naik 11 peratus kepada 143 kes, manakala kes samun tanpa senjata bertambah dua kes dan kes mencederakan meningkat satu peratus.

“Dalam kategori jenayah harta benda, jumlah keseluruhan menurun kepada 3,399 kes berbanding 3,772 tahun lalu. Walau bagaimanapun, curi motokar meningkat 20 peratus, manakala pecah rumah naik 32 kes, menjadikan jumlah 961 kes sehingga Oktober,” jelasnya.

Zainal menegaskan Polis Sarawak kini bergerak dengan strategi penguatkuasaan lebih proaktif, menumpukan operasi ofensif bagi menumpaskan pengedar dadah, sindiket kewangan dan jenayah berprofil tinggi.

Langkah ini, katanya, membuktikan kontinjen negeri bukan sahaja mengekang jenayah secara reaktif, malah mampu memutuskan rangkaian jenayah sejak peringkat awal.

“Pendekatan ini membolehkan kontinjen meningkatkan keberkesanan di lapangan, terutama dalam memutuskan rangkaian jenayah terancang. Kami akan terus memperkukuh operasi berimpak tinggi menjelang 2026, khususnya melibatkan pengedaran dadah, jenayah komersial dan ancaman digital,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU