KUCHING: Sarawak merancang menjadikan air sebagai satu lagi komoditi eksport baharu dengan membekalkan air terawat kepada negara jiran yang berdepan masalah kekurangan sumber berkenaan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu akan dilaksanakan selepas negeri ini mencapai sasaran liputan bekalan air 100 peratus menjelang 2030 menerusi pembangunan Grid Air Sarawak dan Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
Beliau berkata selepas semua perancangan itu disiapkan, Sarawak mempunyai potensi besar untuk menguruskan sumber air sungainya menggunakan teknologi rawatan air sebelum dieksport ke negara yang memerlukan.
“Selepas 2030, apabila kita telah siap dalam rancangan membekalkan air ke seluruh negeri, perkara kedua ialah kita perlu menguruskan air sungai dengan teknologi termasuk perawatan air. Itu akan menjadi peluang untuk kita membekalkan air kepada negara yang memerlukan, terutamanya jiran kita yang kekurangan air kerana ekonomi mereka turut memerlukan air,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari menambah Sarawak mempunyai kelebihan kerana memiliki banyak sungai yang boleh dirawat menggunakan teknologi sedia ada dengan kos lebih rendah berbanding penggunaan sistem osmosis yang lebih mahal untuk menukarkan air laut.
Menurutnya, teknologi rawatan air sungai itu kini tersedia dan dipamerkan pada BIWWEC 2026.
“Kita mempunyai teknologi yang boleh membersihkan air sungai dan kita memiliki banyak sungai yang besar. Mungkin kita boleh dedikasikan satu sungai untuk membina loji rawatan air bagi membersihkan air khas untuk eksport untuk dikongsi dengan negara jiran yang memerlukan air,” katanya.
Abang Johari berkata rundingan untuk mengeksport air terawat itu sedang dijalankan dengan negara jiran terlibat.
Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan negara terbabit buat masa ini kerana rundingan masih berlangsung.
“Saya tidak boleh mendedahkannya, namun memang terdapat usaha ke arah itu. Kami sedang mempertimbangkan air sebagai satu lagi komoditi eksport bagi Sarawak dan ini adalah sesuatu yang baharu,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan liputan bekalan air sepenuhnya menjelang 2030 menerusi Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air yang bakal membangunkan rangkaian utama dari selatan hingga ke utara negeri.
Katanya, di bawah sistem itu, kira-kira 2,800 kilometer saluran paip akan dipasang selain pembinaan atau naik taraf 21 loji rawatan air utama bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta daya tahan sistem bekalan air di negeri ini.
Beliau berkata, program SAWAS pula terus menyediakan penyelesaian bekalan air kepada komuniti pedalaman dengan kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung atau rumah panjang telah menerima bekalan air bersih, manakala 1,300 lagi kampung dan rumah panjang akan diliputi pada fasa seterusnya.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak turut mempercepat transformasi sektor air melalui penggunaan teknologi digital seperti meter pintar, pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sistem pengesanan kebocoran bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW).


