KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menggandakan ekonomi negeri daripada RM148.2 bilion pada 2024 kepada RM282 bilion menjelang 2030 selain meningkatkan pendapatan isi rumah bulanan kepada RM15,000.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sasaran ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak terus kukuh dan memberi manfaat kepada semua rakyat.
“Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Sarawak akan menggunakan sepenuhnya sumber semula jadi yang ada, memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan dan memanfaatkan teknologi moden bagi membangunkan industri bernilai tinggi.
“Langkah ini juga bertujuan untuk memastikan kemakmuran dinikmati secara bersama supaya tiada rakyat Sarawak yang tertinggal dalam arus pembangunan menjelang 2030,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS sidang kelima, pagi tadi.
Uggah merangkap Pro Canselor UNIMAS menambah, ekonomi Sarawak terus menunjukkan ketahanan dan disiplin yang luar biasa selepas tempoh sukar pandemik COVID-19, hasil pengurusan kewangan yang berhemat serta dasar pembangunan yang berpaksikan kemajuan rakyat.
Pendapatan negeri katanya, mencatatkan peningkatan ketara apabila hampir berganda daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024, sekali gus menggambarkan kedudukan fiskal yang kukuh dan pengurusan ekonomi yang stabil.

“Pengiktirafan oleh Bank Dunia yang menobatkan Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2023 turut menjadi bukti kejayaan transformasi struktur ekonomi negeri, hasil pelaksanaan dasar inklusif dan berdaya saing.
“Perkembangan ini turut memperlihatkan kesan positif pasaran pekerjaan, apabila jumlah tenaga kerja meningkat daripada 1.10 juta pada 2021 kepada 1.21 juta pada 2024 sementara kadar pengangguran menurun daripada 4.5 peratus kepada hanya 3.4 peratus.
“Pada masa yang sama pendapatan bulanan isi rumah median meningkat sebanyak 21 peratus daripada RM4,544 kepada RM5,504 menandakan peningkatan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.


