KUCHING: Bagi merealisasikan pelancaran satelit nano berasaskan CubeSat menjelang tahun 2030, Sarawak perlu memperkukuh kepakaran tempatan dalam bidang aeroangkasa, kejuruteraan satelit, analitik data dan teknologi komunikasi masa depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satelit orbit rendah bumi itu akan menyokong perkhidmatan geolokasi masa nyata, pemantauan hutan, pengawasan maritim, pengurusan bencana serta keupayaan pemerhatian bumi.
“Sebagai sebahagian daripada strategi transformasi digital jangka panjang, kita sedang membangunkan Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) Kuching di Tanjung Embang, sebuah fasiliti bertaraf dunia yang merangkumi kira-kira 405 hektar.
“Kampus ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Grid AI serantau, memperkukuh ekosistem digital Sarawak sekali gus menarik pelaburan global berkualiti tinggi,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Gawai hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Sarawak kini melangkah ke fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menerusi pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak 2026-2030.
Beliau menjelaskan, tahun ini membawa makna lebih besar yang menjadi simbol kepada satu era baharu transformasi Sarawak yang sedang dibina bersama.
“Matlamat kita jelas, menjelang tahun 2030, Sarawak mensasarkan untuk menjadi sebuah wilayah maju yang makmur, inklusif dan mampan, dipacu oleh inovasi, teknologi, data dan modal insan berkualiti tinggi.
“RMK-13 merupakan pelan induk pembangunan yang akan menentukan masa depan negeri kita sehingga tahun 2030.
“Sasaran utama kita adalah mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari menjelaskan bagi mencapai lonjakan tersebut, RMK-13 akan berpaksikan kepada tiga prinsip utama iaitu membaiki, membina dan baharu.
“Sarawak akan memperbaiki segala kekangan supaya lebih cekap, membina kemajuan berterusan dan meneroka peluang-peluang baharu dalam ekonomi global untuk melonjakkan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
Menurut beliau, era kebergantungan sepenuhnya kepada sumber asli yang terhad kini telah berlalu dan Sarawak sedang melangkah ke hadapan dengan membina sebuah ekonomi baharu yang berteraskan ilmu pengetahuan, inovasi dan kekuatan modal insan.
“Jika sebelum ini pembangunan banyak bergantung kepada hasil minyak, gas dan sumber semula jadi lain, kini kita sedang mengorak langkah ke arah ekonomi yang dipacu oleh kekuatan intelektual.
“Kita sedar, kekuatan ilmu, kreativiti, kemahiran dan kebijaksanaan tidak mempunyai batasan. Oleh itu, pelaburan terbesar yang perlu kita lakukan hari ini ialah pelaburan terhadap anak-anak Sarawak,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Abang Johari berkata, Sarawak juga sedang membangunkan loji polisilikon gred semikonduktor pertama di Asia Tenggara yang terletak di Bintulu.
Projek strategik ini mendapat sokongan daripada Kumpulan Bank Dunia melalui Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Sarawak sebagai hab teknologi masa depan.


