ARTIKEL

Abang Johari melawat reruai pada Majlis Perasmian Borneo Makers Festival: AI for Makers di TEGAS Digital Village, hari ini. | Foto: Ramidi Subari

Sarawak sasar lancar nanosatelit sendiri menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Makmal angkasa khusus Sarawak yang dijangka ditubuhkan tahun depan sedang dibangunkan menerusi kerjasama dengan sebuah agensi angkasa dan Kolej Universiti i-CATS (i-CATS).

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan makmal itu bertujuan menyokong pembangunan nanosatelit milik Sarawak serta memperkukuh keupayaan negeri memanfaatkan data berasaskan angkasa.

Menurutnya, dua makmal akan dibangunkan, masing-masing oleh agensi angkasa dan i-CATS, bagi menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi aeroangkasa.

“Kita bekerjasama dengan agensi angkasa dan i-CATS. Kita sedang menubuhkan makmal itu. Tahun depan, kita akan mula membangunkan makmal berkenaan, satu oleh agensi angkasa dan satu lagi oleh universiti i-CATS.

“Kedua-duanya akan menjalankan penyelidikan. Sasaran kita, insya-Allah, adalah pada 2030. Kita mahu melancarkan nanosatelit kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran AI for Makers sempena Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, nanosatelit yang akan beroperasi di orbit bumi rendah itu akan dilengkapi komponen penting termasuk cip pemprosesan, kamera dan keupayaan komunikasi bagi membolehkan data dikumpulkan dari angkasa.

Beliau berkata, data berkenaan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor ekonomi Sarawak, termasuk pengurusan bencana dan pemantauan sumber semula jadi.

“Data penting. Ia melibatkan semua sektor ekonomi kita termasuk pengurusan bencana. Satelit itu akan mendapatkan data. Kita boleh menyimpan dan mengkaji data itu bagi menentukan apa yang perlu dilakukan, termasuk maklumat mengenai sumber kita,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU