MANCHESTER: Sarawak menyasarkan pelancaran satelit nano (CubeSat) pertamanya menjelang 2030 bagi memperkasa data geolokasi negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan teknologi angkasa lepas ini akan membolehkan Sarawak memiliki satelit sendiri bagi mendapatkan imej bumi yang tepat.
Katanya, inisiatif ini turut bertujuan untuk memperkukuh data serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital Sarawak secara menyeluruh.
“Sasaran kita menjelang 2030, diharapkan kita dapat melancarkan satelit pertama kita. Ia satelit nano menggunakan CubeSat, kita akan mempunyai satelit yang boleh mendapatkan imej dari bumi,” katanya pada sesi ‘Sarawak Agenda, Townhall Bersama YAB Premier Sarawak’ sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) edisi United Kingdom (UK) di sini.
Selain itu, beliau turut mendedahkan projek infrastruktur ikonik iaitu Jambatan Batang Lupar dijadual mula digunakan pada pertengahan Mei ini, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan Kuching-Sri Aman kepada hanya 1 jam 15 minit.
Penganjuran LBAS edisi UK di Manchester berperanan sebagai simbol perpaduan serta wadah penyatuan harapan bagi anak-anak Sarawak di perantauan.
Lebih daripada sekadar majlis ramah mesra, LBAS menjadi titik pertemuan strategik bagi menghimpunkan komuniti mahasiswa dan profesional Sarawak dari seluruh pelosok Eropah untuk menyantuni arus pembangunan pesat di Sarawak. – TVS


