ARTIKEL

Julaihi menyampaikan ucaptama pada program Sarawak Water Outlook sempena Minggu Air Antarabangsa Singapura 2026 di Pusat Konvensyen Sands Expo, Marina Bay Sands, Singapura.

Sarawak sasar liputan bekalan air bersih penuh menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Liputan bekalan air bersih dan selamat 100 peratus menjelang 2030 merupakan antara agenda utama Sarawak dalam mewujudkan infrastruktur utiliti yang moden, inklusif dan berdaya tahan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kualiti hidup rakyat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah itu merangkumi pelaksanaan sistem Grid Air Sarawak serta penyelesaian bekalan air luar bagi kawasan pedalaman yang sukar diakses.

Menurutnya, penyediaan infrastruktur air di Sarawak kekal mencabar berikutan keluasan negeri dan taburan penduduk yang berselerak, selain memerlukan kos pelaburan yang tinggi.

“Antara keutamaan kerajaan ialah memastikan akses kepada bekalan air bersih dan boleh dipercayai dapat dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk di kawasan pedalaman supaya tiada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Ketika ini, liputan bekalan air keseluruhan di Sarawak telah mencapai 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar berada pada tahap 71.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Sarawak Water Outlook: Malaysia sempena Minggu Air Antarabangsa Singapura 2026 di Pusat Konvensyen Sands Expo, Marina Bay Sands, Singapura.

Tambahnya, di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air Sarawak, kerajaan negeri akan membina kira-kira 2,800 kilometer paip baharu dan menaik taraf 21 loji rawatan air utama bagi memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang negeri.

“Bagi menangani masalah bekalan air di kawasan yang berdepan tekanan bekalan secara segera, sebanyak 18 loji rawatan air akut telah pun beroperasi.

“Ia berfungsi sebagai kemudahan rawatan air sementara yang dibangunkan secara pantas untuk menyediakan bekalan air yang stabil sementara projek infrastruktur jangka panjang dilaksanakan.

“Loji ini membantu memastikan kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air kritikal mendapat bekalan air yang boleh dipercayai,” jelasnya.

Bagi kawasan pedalaman yang tidak dapat dihubungkan dengan sistem Grid Air Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan inisiatif Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang menyediakan sistem bekalan air luar grid secara berpusat dan berskala kecil.

“Setakat ini, SAWAS telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah melibatkan 79 kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak.

“Inisiatif fasa seterusnya, sebanyak 1,300 lagi kampung dan rumah panjang akan menerima manfaat daripada program tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut melaksanakan program naik taraf dan penggantian paip air melibatkan kira-kira 2,700 kilometer paip lama dan usang di seluruh negeri.

“Program yang dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun itu bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air, mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta memastikan perkhidmatan bekalan air yang lebih cekap dan berkualiti kepada pengguna,” jelasnya.

Ujarnya, pelbagai pelaburan besar turut dilaksanakan bagi memperluaskan liputan bekalan air terawat, menaik taraf infrastruktur sedia ada, mengurangkan kehilangan air serta meningkatkan kecekapan operasi sistem bekalan air negeri.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

BERITA TERBARU