ARTIKEL

BERUCAP... Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Sibu, hari ini. Foto Mohd Alif Noni.

Sarawak sasar muncul antara ekonomi terkuat menjelang 2028

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Sarawak menyasarkan untuk mengatasi beberapa negeri dari segi prestasi ekonomi menjelang 2028, didorong pelaksanaan dasar pembangunan yang tersusun serta kerjasama erat rakyat dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan prestasi ekonomi Sarawak yang terus berkembang, malah telah diiktiraf sebagai ekonomi berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia sejak 2022.

“Kalau kita terus bekerja kuat, saya yakin menjelang 2028 kita akan memintas negeri-negeri lain kerana saya percaya rakyat Sarawak akan terus bekerjasama mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Dengan peningkatan sumber ekonomi, kita mampu meningkatkan kedudukan Sarawak dalam ekonomi negara. Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh kedudukan itu,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang di Sibu, hari ini.

Beliau berkata, aspirasi kerajaan adalah menjadikan Sarawak sebagai pemacu utama ekonomi negara, seumpama peranan wilayah Bavaria yang menjadi penyumbang terbesar kepada kekuatan ekonomi Jerman.

“Kalau Jerman mempunyai Bavaria sebagai wilayah yang menggerakkan ekonominya, saya mahu Sarawak menjadi Bavaria bagi Malaysia.

“Sebab itu segala perancangan pembangunan perlu dilaksanakan secara teliti supaya ekonomi negeri terus berkembang pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan bekalan elektrik merupakan antara strategi utama kerajaan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, pendekatan itu turut mendapat pengiktirafan pakar ekonomi terkenal dunia, Profesor Joseph Stiglitz, yang pernah menyatakan Sarawak berpotensi muncul sebagai antara ekonomi paling maju di Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, kita mesti membangunkan negeri mengikut acuan sendiri berdasarkan dasar ekonomi yang menepati keperluan negeri,” tegasnya.

Untuk rekod, Sarawak terus mencatat prestasi ekonomi yang kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang 3.6 peratus pada 2025 kepada RM153.5 bilion, didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pertanian.

Sarawak bersama Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negara dengan sumbangan keseluruhan sebanyak 67.9 peratus kepada ekonomi Malaysia.

Bagi KDNK per kapita, Sarawak turut merekodkan RM73,757, melebihi paras nasional sebanyak RM59,167, sekali gus meletakkan negeri ini antara enam negeri yang mencatat KDNK per kapita tertinggi di Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU