KUCHING: Sarawak menyasarkan pelaburan bernilai RM100 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan fokus utama kepada pembangunan infrastruktur strategik yang dapat menyokong serta memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan tersebut akan melibatkan kerajaan dan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk membuka peluang kepada sektor swasta untuk turut serta.
“Pelaburan ini adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk melonjakkan pembangunan negeri, termasuk menyokong infrastruktur yang telah dibangunkan sebelum ini.
“Salah satu komponen utamanya ialah projek pembinaan jalan pesisir, yang menelan kos awal sekitar RM12 bilion. Jumlah ini tidak termasuk sumbangan daripada sektor swasta, yang dijangka meningkatkan lagi jumlah keseluruhan pelaburan ke dalam negeri.
“Jadi, dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan melabur sekitar RM100 bilion. Ini adalah langkah strategik untuk memastikan infrastruktur yang telah kita capai dapat terus berkembang dan menyokong ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaraan PCDS 2030: Sorotan 2023 – Laporan Tahunan Pertama Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19, (PCDS) 2030, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Ujarnya, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan berdasarkan unjuran “multiplier effect” itu akan membawwa kesan berganda dengan setiap ringgit yang dilaburkan, berpotensi menghasilkan pulangan sehingga 2.5 kali ganda.
“Kita tidak ‘encang sebarang’ (berbuat sembarangan), kita menganalisis perkara ini dalam jangka masa yang panjang. Jadi ini melibatkan pelaburan dan kabinet saya telah mengira untuk mendapatkan dana bagi mengurus perkara ini supaya ia memberikan pulangan sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 tahun.
“Maksudnya apabila infrastruktur siap, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita juga akan meningkat. Untuk pengetahuan anda jika kita melabur pada masa ini, modal pelaburan kita akan memberi hasil 1.7 kali ganda. Ini salah satu yang tertinggi.
“Justeru dengan angka suntikan RM100 bilion, ia dijangka membawa kesan keseluruhan hampir bernilai RM250 bilion bakal disuntik ke dalam ekonomi Sarawak,” jelasnya.
Tambahnya, pelaburan tersebut bukan sahaja meningkatkan pendapatan kerajaan negeri tetapi turut memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, perniagaan, dan peningkatan taraf hidup secara keseluruhan.
Dengan pelan menyeluruh ini, Sarawak katanya bukan sahaja berusaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa tetapi juga memastikan bahawa manfaat daripada pembangunan tersebut dirasai oleh seluruh rakyat negeri ini.


