ARTIKEL

Sarawak sasar pelaburan teknologi tinggi dari Jerman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang berusaha memperkukuh hubungan ekonomi dengan Jerman dengan menjadikan wilayah ini sebagai destinasi pelaburan strategik bagi industri berteknologi tinggi dan hijau, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sehubungan itu, beliau berharap Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dapat berperanan sebagai jambatan bagi menghubungkan syarikat Jerman yang berwibawa dengan peluang pelaburan di negeri ini.

“MGCC boleh menjadi rakan strategik utama kami dalam menyokong usaha Sarawak menarik pelaburan asing berkualiti tinggi dari Jerman dengan bertindak sebagai penterjemah pasaran bagi membantu syarikat Jerman memahami persekitaran perniagaan di Sarawak, mengurangkan halangan kemasukan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

“Selain itu, MGCC juga boleh menjadi pemangkin untuk menghubungkan pelabur yang tepat, khususnya syarikat Mittelstand dari Jerman, dengan sektor keutamaan seperti tenaga boleh diperbaharui, pembuatan maju dan ekonomi digital serta membina hubungan jangka panjang menerusi penglibatan berterusan, delegasi dan sokongan susulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Perniagaan Jerman-Malaysia Ke-6 (GMBF) di sini, hari ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika hadir pada Forum Perniagaan Jerman-Malaysia Ke-6 (GMBF) di Kuching, hari ini.

Turut hadir Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Seri Naroden Majais, Pengarah Eksekutif MGCC Hannes Farlock dan Duta Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr.

Menurut Awang Tengah, pelaburan Jerman di Sarawak ketika ini masih rendah, namun syarikat sedia ada seperti X-FAB terus mengembangkan operasi mereka di wilayah ini.

“Di Sarawak, pelaburan syarikat berkaitan Jerman tertumpu dalam pembuatan produk elektrik dan elektronik serta bahan kimia dengan jumlah pelaburan melebihi RM14 bilion sejak 2013.

“Pada 2025, jumlah perdagangan antara Sarawak dan Jerman dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion dengan semikonduktor, jentera elektrik, produk petroleum, bahan kimia dan baja merupakan komoditi dagangan utama,” katanya.

Justeru sempena GMBF, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, perbincangan dalam forum itu meliputi pelbagai sektor termasuk pembuatan maju, semikonduktor, aeroangkasa, automasi, tenaga boleh diperbaharui, tenaga bersih, ekonomi kitaran, penyelesaian alam sekitar, ekonomi digital dan pembangunan bakat.

Menurutnya, syarikat Jerman menunjukkan minat khusus terhadap industri berasaskan teknologi tinggi seperti semikonduktor serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Mereka sangat kukuh dalam bidang kejuruteraan ketepatan dan industri automotif. Bavaria merupakan antara pusat industri automotif.

“Saya juga memaklumkan kepada mereka bahawa Sarawak sudah mempunyai ekosistem industri dan rantaian bekalan yang semakin berkembang termasuk industri aluminium dan ferro aloi di Bintulu, sekali gus membuka peluang kepada syarikat menghasilkan komponen automotif di sini seperti rim kenderaan,” katanya.

Awang Tengah menambah, lokasi strategik Sarawak di Asia dan ASEAN selain ketersediaan tenaga boleh diperbaharui memberikan kelebihan tambahan kepada pelabur.

“Mereka bukan hanya melihat pasaran Sarawak semata-mata. Sarawak berada di lokasi strategik berhampiran China, India, Australia dan negara ASEAN.

“Mereka perlu memanfaatkan ketersediaan tenaga boleh diperbaharui yang mampu memberi nilai premium kepada produk mereka,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU