ARTIKEL

Abdul Karim berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Fotografi Serantau 2026 di Kuching, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

Sarawak sedia biaya kos ekspedisi fotografi ke kawasan pedalaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersedia bekerjasama serta membantu membiayai kos ekspedisi fotografi ke kawasan pedalaman negeri ini bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan yang masih kurang dikenali.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu membuka lebih banyak peluang kepada jurugambar untuk meneroka lokasi menarik di Sarawak, selain melahirkan lebih ramai jurugambar profesional.

Menurutnya, kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan persatuan fotografi yang ingin menganjurkan ekspedisi ke lokasi yang memerlukan kos perjalanan tinggi jika dilakukan secara individu.

“Jika mereka bergerak secara berkumpulan, kementerian boleh membantu mengurangkan kos supaya lebih ramai jurugambar dapat menyertainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Fotografi Serantau 2026 di sini, hari ini.

Abdul Karim merakam gambar kenangan selepas merasmikan Bengkel Fotografi Serantau 2026 di Kuching, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

Beliau berkata antara destinasi yang sesuai untuk program tersebut ialah Taman Negara Niah, Taman Negara Gunung Mulu serta tapak Warisan Dunia UNESCO yang menawarkan landskap menarik dan berpotensi dijadikan lokasi pertandingan fotografi.

Katanya, pendekatan pertandingan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kreativiti, malah menggalakkan lebih ramai menceburi bidang fotografi secara profesional.

Dalam pada itu, beliau berkata persatuan fotografi seperti Persatuan Fotografi Profesional Asia Bersatu (UAPPA) dan Persekutuan Persatuan Fotografi Komersial Malaysia memainkan peranan penting dalam membimbing serta membangunkan bakat jurufoto.

Menurutnya, melalui latihan, pameran, pertandingan dan program pertukaran serantau, organisasi berkenaan mampu memperkukuh standard profesional serta melahirkan jurufoto berdaya saing dalam ekonomi kreatif yang semakin berkembang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU