KUCHING: Sarawak bersedia muncul sebagai hab serantau bagi tenaga boleh diperbaharui berbekalkan kekayaan sumber alam yang melimpah.
Namun, ia memerlukan penyedia teknologi berkemampuan untuk membawa inovasi serta kepakaran terkini daripada pemain industri global, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Saya berharap menerusi forum ini, mereka dapat meneroka kemungkinan untuk mengintegrasikan penyedia teknologi.
‘’Di pihak kita pula, kita mampu menghasilkan tenaga boleh diperbaharui pada kos yang berpatutan dan boleh dikongsi, sekurang-kurangnya dalam kalangan negara ASEAN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa Yamada di Hotel Riverside Majestic, di sini petang tadi.
Abang Johari menambah, forum tersebut turut disertai beberapa syarikat Jepun yang sedang mencari peluang dalam potensi tenaga boleh diperbaharui.
“Kita berkongsi dengan mereka pelbagai potensi tenaga rendah karbon yang boleh dihasilkan Sarawak, seperti yang saya senaraikan kepada mereka iaitu hidro, solar, biojisim, gas serta hidrogen, termasuk kemungkinan menggunakan atom dalam hidrogen sebagai asas kepada tenaga gabungan.
“Tenaga gabungan ini sesuatu yang sangat baharu di dunia, dan kini sedang diuji di Tennessee, Amerika Syarikat. Ia lebih selamat daripada tenaga nuklear dan berpotensi lebih murah berbanding nuklear dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Ditanya berkaitan minat pelabur dengan industri hijau Sarawak, Abang Johari mengesahkan wujud pihak yang berminat walaupun kajian kos masih dijalankan.
Ujarnya, ramai pihak menunjukkan keyakinan dan minat untuk melabur dalam pengeluaran tenaga boleh diperbaharui di Sarawak dan negeri ini akan memberikan sokongan serta bantuan kepada semua pihak yang terlibat.
‘’Ini termasuk juga penjanaan tenaga daripada sisa, dan Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai undang-undang berkaitan pengumpulan serta pengurusan sisa melalui kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam (Selasa),” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak komited untuk menyediakan sokongan dan fasiliti yang diperlukan bagi memudahkan pelaburan dalam sektor ini, dengan tujuan menjadikan sisa sebagai sumber ekonomi yang mampan bagi negeri.

JIM Sarawak serbu lapan lokasi, tahan 74 warga asing
KUCHING: Seramai 74 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak selepas pemeriksaan di lapan lokasi sekitar Kuching menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu yang

