KUCHING: Sarawak sedang membangunkan kemudahan penginapan dan fasiliti bagi pesakit yang mahu menjalani tempoh pemulihan selepas mendapatkan rawatan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara lokasi yang dibangunkan ialah di Lundu-Sematan yang menghadap laut dan Hutan Simpan Sabal di Simunjan.
Katanya, kemudahan berkenaan memberi pilihan kepada pesakit untuk menjalani proses pemulihan selepas rawatan dalam persekitaran yang sesuai.

“Jika pesakit mahu menikmati laut, mereka boleh datang ke Lundu-Sematan dan menjalani proses pemulihan selepas rawatan.
“Jika mereka sukakan hutan, mereka boleh ke Sabal (di Simunjan)… Kita menyediakan penginapan dengan 100 katil di kawasan hutan Sabal di bawah pengurusan Sarawak Forestry Corporation (SFC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching milik Health Management International (HMI) Medical di The NorthBank di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan kemudahan berkenaan merupakan antara usaha Sarawak menyediakan kemudahan sokongan kepada pesakit selain rawatan di hospital.
Jelasnya, Sarawak boleh mengambil pendekatan negara Maldives yang menyediakan kemudahan untuk pesakit menjalani tempoh pemulihan selepas mendapatkan rawatan.
“Di Maldives, ramai golongan perniagaan berprofil tinggi datang mendapatkan rawatan.
Mereka menempah chalet, membawa doktor sendiri dan selepas rawatan, mereka kembali ke negara masing-masing.
“Apa yang penting ialah rawatan selepas rawatan.
Mereka berada di sana untuk pemulihan dengan menikmati suasana laut, angin dan kemudahan sosial lain bagi membantu mereka pulih daripada penyakit,” jelasnya.
Beliau berkata, Sarawak turut meningkatkan kesalinghubungan bagi memudahkan pesakit dari negara ASEAN mendapatkan rawatan di Sarawak.
Katanya, Sarawak berada di tengah-tengah ASEAN dan mempunyai potensi untuk menarik pesakit yang mahu mendapatkan rawatan berkualiti di negeri ini.


