KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menyediakan pelan tempatan yang akan dibuat secara komprehensif di bandar utama negeri ini termasuk Pelan Tempatan Samarahan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata perkara tersebut juga sebagai asas rujukan dan panduan untuk mengawal pembangunan tanah merangkumi aspek perumahan, jaringan jalan raya, utiliti dan sebagainya.
Katanya, kerajaan juga membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang masih dalam peringkat pelaksanaan.
“Ini akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam khususnya di bandar raya Kuching dan Samarahan,” katanya
ketika menjawab soalan ADUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim pada hari ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan dalam proses penyediaan Garis Panduan Pembangunan Mampan yang merangkumi konsep Bandar Pintar, Bandar Selamat dan Bandar Rendah Karbon untuk memastikan pembangunan yang komprehensif serta berdaya tahan.
Justeru, katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi telah merancang dua pelan induk untuk memastikan bekalan air dan elektrik yang mampan iaitu Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
“Selain itu, kita juga menggalakkan penglibatan komuniti dan pemegang taruh dalam proses perancangan serta bekerjasama dengan pihak swasta untuk pembangunan infrastruktur,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan untuk mewujudkan kelestarian pembangunan perumahan yang terancang dan teratur kerajaan akan meneliti kesesuaian cadangan pembangunan perumahan dengan merujuk pelan pembangunan kawasan dan mengikut polisi serta garis panduan semasa yang ditetapkan.
Menurutnya, ia harus sesuai dengan zon guna tanah yang dirancang dan tidak bercanggah.
“Kerajaan mengambil kira beberapa aspek lain dalam memberi pertimbangan untuk semua cadangan pembangunan perumahan terutamanya seperti kemudahan atau jaringan jalan; kesediaan kemudahan utiliti terutamanya bekalan air dan elektrik; kepadatan perumahan; penyediaan kawasan lapang serta lain-lain.
“Kerajaan juga akan merujuk kepada jabatan dan agensi teknikal seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar(NREB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) jika perlu bergantung kepada skala pembangunan, lokasi dan sebagainya,” ujar beliau.
Menjawab mengenai isu kesesakan lalu lintas dalam meluluskan sesebuah cadangan pembangunan perumahan yang berskala besar, Len yang juga ADUN Kuala Rajang memberitahu kajian impak trafik TIA diperlukan sekiranya permohonan melibatkan pembangunan berimpak tinggi seperti perumahan berdensiti tinggi, pembangunan bandar baharu dan pembangunan bercampur berskala besar.
“Penyediaan Kajian TIA ini perlu bagi menilai dan menentukan kesan terhadap laluan lintas setempat yang diakibatkan oleh sesuatu pembangunan tersebut.
“Kajian TIA juga membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan mengenal pasti keperluan untuk langkah-langkah menangani kesesakan lalu lintas serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya,” tegasnya.


