KUCHING: Sarawak bercadang untuk menghidupkan semula Sukan Borneo iaitu acara sukan serantau melibatkan Sarawak dan Sabah, Brunei dan Kalimantan Indonesia.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, temasya itu dijangka akan memupuk semangat setiakawan dan meningkatkan perkembangan atlet di kepulauan Borneo.
“Saya melontarkan idea itu kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Kami mahu mengadakan Sukan Borneo, acara sukan untuk negara-negara Borneo yang merangkumi Malaysia (Sabah dan Sarawak), dan negara jiran Brunei dan Indonesia, khususnya Kalimantan.
“Insha Allah, saya akan bangkitkan idea ini bersama rakan-rakan kita, dan saya yakin ini akan menjadi platform untuk kita melatih atlet kita ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam Rabu (20 Ogos).
Menurutnya, Sukan Borneo pernah dilaksanakan pada masa lalu sekali gus menjadi keinginannya untuk menghidupkan semula tradisi membabitkan sukan tiga serantau itu.
Sukan Borneo pertama telah dianjurkan oleh Brunei pada tahun 1954.
Kemudian, Sabah, Sarawak dan Brunei bergilir-gilir menjadi tuan rumah temasya tersebut; kali terakhir diadakan di Brunei pada 2009.
“Sudah tentu, perkara seterusnya yang kami sediakan ialah penganjuran bersama Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027, dan kami akan membincangkannya dengan jiran dan rakan-rakan kami.
“Jika kita boleh menganjurkan Sukan Borneo, seperti dahulu, kita mahu Kalimantan (Indonesia), Malaysia dan Brunei terlibat,” tambahnya.
Tegasnya, Sarawak bersedia mendahului selaku penaja edisi pertama Sukan Borneo yang dihidupkan semula.
“Tiada masalah, Sarawak akan cuba menaja Sukan Borneo yang pertama,” katanya memberi jaminan.

