ARTIKEL

Dr Annuar ketika menjawab soalan Safiee Ahmad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. | Gambar: Ramidi Subari

Sarawak serius tangani kekurangan doktor melalui inisiatif pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keperluan sebuah fakulti perubatan dan kejururawatan di universiti milik Kerajaan Sarawak akan dinilai melalui kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan yang dicadangkan untuk dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata langkah itu diambil susulan kekurangan doktor di Sarawak yang kini berada pada tahap kritikal dan menuntut perhatian segera kerana perkhidmatan kesihatan merupakan hak asasi rakyat negeri ini.

“Ketika ini, kita kekurangan 1,817 pegawai perubatan, 246 pakar dan 2,300 jururawat di seluruh Sarawak.

“Keadaan ini membimbangkan. Bahkan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang juga ADUN Batu Kawa, lantang menegaskan bahawa kekurangan doktor di Sarawak berada pada tahap kritikal.

“Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab menyediakan perkhidmatan kesihatan mengikut Perlembagaan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, saya menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini kerana perkhidmatan kesihatan adalah hak rakyat Sarawak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kajian tersebut merupakan syarat asas sebelum sebuah sekolah perubatan diberikan lesen operasi.

“Kajian ini juga penting untuk menilai permintaan terhadap program perubatan peringkat ijazah sarjana muda dan saya percaya permintaan bukan isu utama.

“Kedua, kajian ini akan menilai kapasiti institusi dari segi tenaga manusia dan infrastruktur serta meneliti keperluan regulatori termasuk prosedur daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan kajian juga penting untuk menilai aspek keupayaan kewangan yang merangkumi kos modal dan kos berulang serta cadangan pelan pembiayaan.

“Pelaksanaan kajian juga akan mengemukakan cadangan hala tuju pelaksanaan seperti proses akreditasi dan pengambilan pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak terus berusaha meningkatkan jumlah doktor tempatan menerusi skim khas untuk pelajar perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diwujudkan pada 2018.

“Sejak skim itu diperkenalkan, seramai 290 pelajar telah menerima manfaat dengan perbelanjaan kerajaan mencecah RM110 juta dalam tempoh lapan tahun ini.

“Inilah usaha besar Kerajaan Sarawak dalam memastikan isu kekurangan doktor dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU