KUCHING: Kerajaan Sarawak memberikan persetujuan secara prinsip untuk Kuching menjadi tuan rumah Sukan Perpaduan Islam (ISG) edisi ketujuh pada 2029, yang dijangka menghimpunkan 57 negara dari seluruh dunia.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persetujuan prinsip itu diberikan berdasarkan momentum persiapan Sarawak sebagai tuan rumah bersama bagi Sukan SEA 2027 serta kesiapsiagaan kemudahan sukan di negeri ini.
“Kerajaan Sarawak melihat ISG 2029 bukan sekadar acara sukan antarabangsa, sebaliknya platform untuk memperluas peluang ekonomi negeri.
“Khususnya, dalam sektor pelancongan, promosi pelaburan dan pertumbuhan perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sarawak dijadual menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, dengan 18 daripada 43 acara sukan dipertandingkan di kelompok Sarawak, termasuk sukan tarian yang baharu ditambah dalam senarai acara di negeri ini.
Tambahnya, sebuah majlis khas genap setahun menjelang Sukan SEA 2027 turut diadakan pada 18 September 2026 bagi menandakan pencapaian penting Sarawak dalam persiapan penganjuran temasya itu.
Menurutnya lagi, majlis itu turut memberi peluang untuk memperkenalkan temasya berkenaan kepada orang ramai serta meningkatkan kesedaran berkaitan peranan Sarawak sebagai tuan rumah bersama.
“Laman web rasmi Sukan SEA Sarawak turut dilancarkan bagi membolehkan orang ramai dan pihak media mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini temasya tersebut.
“Aktiviti promosi akan diteruskan pada tahun hadapan, termasuk larian obor yang akan menjelajah kesemua 12 bahagian di Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu akan menyemarakkan lagi kemeriahan temasya berkenaan di luar Kuching, selain memberi peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam acara bersejarah itu.
“Ini mencerminkan keyakinan yang diberikan kepada Sarawak dan menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah sukan negeri ini,” katanya.



