KUCHING: Kerajaan Sarawak menyumbang dana sebanyak RM5 juta kepada Universiti Malaya (UM) dan seterusnya menubuhkan sebuah kursi yang dinamakan sebagai Kursi Dermakekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di universiti berkenaan.
Dana itu akan digunakan sebagai asas bagi menjana pulangan pelaburan bagi memperkasa bidang penyelidikan, penerbitan serta perkhidmatan dalam kerangka ekonomi baharu dan aspek peraturannya.
Justeru, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis penubuhan kursi itu dalam jangka masa panjang akan mengukuhkan kapasiti intelektual Sarawak, menyokong tadbir urus yang baik dan menyediakan rakyat Sarawak untuk memimpin dunia yang cepat berubah.
Selain itu, beliau berkata melalui kerjasama berkenaan, penyelidikan yang dijalankan di bawah kursi itu akan diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa yang berprestij dan akan dapat diakses oleh Kerajaan Sarawak serta agensi-agensinya, agar ilmu tersebut dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan dasar dan pembangunan strategik negeri.
“Kebolehcapaian ini akan menyediakan penggubal dasar dan agensi Sarawak dengan pandangan yang terkini dan kritikal, memacu pembuatan keputusan dan memupuk pembangunan penyelesaian praktikal untuk pertumbuhan dan kemajuan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Kursi Dermakekal Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Objektif utama penubuhan Kursi Derma Kekal YAB Premier Sarawak adalah untuk memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan dalam bidang ekonomi baharu.
Ia termasuk dengan penubuhan kursi yang akan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi serta peraturan baharu yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan mempertingkatkan tadbir urus yang lebih progresif.
Melalui penubuhan kursi itu juga, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi melaksanakan siri kuliah tahunan yang dinamakan Kuliah Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di lokasi yang akan ditentukan kemudian.
Antara bidang tumpuan kursi itu termasuk ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, bioteknologi dalam penjagaan kesihatan dan Kecerdasan Buatan (AI) selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari.


