ARTIKEL

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg FOTO GHAZALI BUJANG

Sarawak tarik pelaburan RM200 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancaran Hab Rendah Karbon Kuching bakal memacu peralihan negeri ini ke arah ekonomi rendah karbon, menarik pelaburan sehingga RM200 bilion kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa langkah memacu inovasi teknologi, pertumbuhan industri dan mengetuai peralihan tenaga ini akan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi tenaga rendah karbon.

“Pelancaran Hab Rendah Karbon Kuching merupakan satu pencapaian penting, tetapi ini hanyalah sebahagian daripada usaha besar yang akan mendorong peralihan ini.

“Dilengkapi dengan infrastruktur penting seperti pelabuhan laut dalam baharu, hab yang dilancarkan ini dijangka menarik pelaburan sehingga RM200 bilion.

“Inisiatif ini akan membuka peluang di seluruh Sarawak dan di luar kawasannya, menjadi pemangkin perubahan untuk Bumi Kenyalang, Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Persidangan Hala Tuju Gas Sarawak di sini, semalam.

Abang Johari juga berkata, pelancaran Hala Tuju Gas Sarawak dan Hab Rendah Karbon Kuching, menandakan langkah penting dalam perjalanan peralihan tenaga negeri ini.

“Semua projek di bawah Hala Tuju Gas Sarawak mencerminkan komitmen negeri ini untuk memainkan peranan utama dalam agenda pembangunan negara, sejajar dengan aspirasi nasional dan serantau untuk masa depan yang mampan,” jelasnya.

Inisiatif strategik seumpamanya kata Abang Johari, bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga semasa negeri ini, tetapi juga meletakkan asas untuk pertumbuhan mampan jangka panjang, yang akan memberi manfaat kepada komuniti jiran dan Malaysia secara keseluruhan.

Beliau turut menegaskan, Sarawak berada di landasan yang kukuh untuk mencapai visi mempunyai tenaga yang terjamin, selain ke arah masa depan yang mampan.

“Inisiatif ini membina momentum Hala Tuju Gas Sarawak dengan memperluas penjanaan kuasa berasaskan gas bagi memastikan bekalan tenaga rendah karbon bagi negeri ini.

“Ia juga akan mewujudkan kluster industri rendah karbon baharu untuk membuka laluan kepada industri mampan dan meningkatkan keterhubungan serantau, menjadikan Kuching sebagai pintu masuk ke Borneo.

“Selain itu membangunkan infrastruktur penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) bertaraf dunia, membuka potensi pembangunan gas luar pesisir Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pelancaran hab tersebut menunjukkan kesediaan negeri ini menerajui penyelesaian tenaga yang lebih bersih.

“Ini adalah era transformasi untuk Sarawak. Dengan membangunkan infrastruktur, menggalakkan pertumbuhan industri dan mewujudkan peluang pekerjaan, kita semakin hampir merealisasikan ekonomi rendah karbon yang berkembang maju.

“Marilah kita bersamasama bergerak ke hadapan untuk membuka potensi penuh Sarawak dan memastikan warisan mampan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

BERITA LAIN

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri

BERITA TERBARU

Jualan kraf Regata Sarawak dijangka lepasi RM2 juta

KUCHING: Jualan produk kraf sempena Regata Sarawak 2026 dijangka melebihi RM2 juta, susulan sambutan menggalakkan pengunjung sepanjang minggu penganjurannya di Tebingan Kuching. Menteri Pelancongan, Industri